Diterbitkan pada 3 Mac 2025, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pendedahan terhadap ilmu pengurusan kewangan terutamanya dalam kalangan belia semakin berkurangan. Keadaan ini menyebabkan berlakunya masalah kewangan yang serius. Sebagai akibatnya, banyak rakyat Malaysia diisytiharkan muflis dan terpaksa menanggung hutang yang besar pada usia yang muda.

Perkembangan teknologi yang pesat turut memberikan impak besar dalam kehidupan masyarakat. Teknologi ini bukan sahaja mempengaruhi pekerjaan harian, malah keperluan hidup juga semakin mudah dipenuhi. Dalam perkembangan ekonomi dunia, teknologi memainkan peranan penting, khususnya dalam sektor e-dagang atau perniagaan dalam talian, yang kini menjadi pilihan utama bagi usahawan dan peniaga.

Platform perniagaan seperti Lazada, Shopee dan Shien semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengguna di Malaysia. Keberadaan e-dagang ini membawa kepada persaingan dalam dunia perniagaan dan banyak syarikat merangka pelbagai strategi pemasaran bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Satu daripada kaedah yang semakin popular ialah skim pembayaran beli dahulu, bayar kemudian (BNPL) yang diperkenalkan pada tahun 2015. Sistem ini membolehkan pengguna membeli barang dan membayar secara ansuran dalam tempoh yang ditetapkan oleh peniaga.

Walaupun kaedah BNPL ini lebih dikenali dalam kalangan golongan dewasa, golongan muda khususnya yang berusia 20-an juga semakin terjebak dalam penggunaan skim pinjaman ini. BNPL menjadi pilihan kerana skim ini memberikan kemudahan serupa dengan kad kredit tetapi terbuka kepada semua golongan usia dan lebih mudah didapati tanpa syarat yang ketat.

Proses pembelian menggunakan BNPL adalah cepat dan mudah, dengan harga yang berpatutan menjadikannya pilihan utama bagi pengguna muda. Jadual pembayaran yang fleksibel juga memberikan kebebasan kepada pengguna, namun jika tidak dikawal boleh menyebabkan mereka terperangkap dalam hutang yang bertambah.

Namun begitu, fenomena ini memberikan impak negatif terutamanya dalam kalangan belia. Tanpa kawalan yang baik, mereka boleh terjerumus dalam tabiat berbelanja secara berlebihan dan ketagihan membeli barangan yang tidak diperlukan. Kegagalan untuk membayar mengikut jadual akan menyebabkan hutang semakin menimbun yang boleh memberikan kesan buruk kepada kewangan mereka.

Seiring dengan itu, golongan belia sering terpengaruh dengan mentaliti kemewahan yang ditonjolkan dalam masyarakat, menyebabkan mereka berbelanja di luar kemampuan. Akhirnya, mereka dibebani dengan masalah hutang pada usia muda. Norsyaziehan Harith, seorang pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM), turut mengakui bahawa penggunaan BNPL membuatkan seseorang menjadi tidak peduli terhadap kewajipan pembayaran kerana mereka boleh membeli dahulu dan membayar kemudian tanpa memikirkan akibatnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM, Profesor Dr. Mohamad Fazli Sabri menyarankan agar masalah hutang dalam kalangan belia ditangani dengan serius. Beliau menekankan pentingnya pendedahan ilmu pengurusan kewangan yang betul untuk meningkatkan pemahaman belia mengenai pengurusan aliran wang tunai. Pendidikan kewangan yang kurang boleh menyebabkan masalah kewangan yang lebih parah kerana penangguhan pembayaran boleh menyebabkan jumlah hutang semakin meningkat.

Beliau juga menyarankan agar BNPL hanya digunakan untuk keperluan yang penting dan bukannya untuk memenuhi kehendak peribadi. Pengguna perlu bijak membezakan antara keperluan dan kehendak serta mengutamakan kemampuan kewangan mereka dalam berbelanja. Disiplin yang tinggi dalam membuat pembayaran tepat pada masanya juga perlu diamalkan.

Kesimpulannya, pengurusan kewangan yang bijak sangat penting dalam kehidupan seharian. Masyarakat perlu merancang kewangan dengan teliti bagi mengelakkan masalah kewangan yang boleh merosakkan kehidupan mereka. Berbelanja dengan bijak, mengikut kemampuan adalah langkah utama bagi mengelakkan diri terperangkap dalam masalah hutang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi