Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Penggunaan iPayment, iaitu Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan akan diperluas kepada semua kementerian dan jabatan kerajaan mulai bulan Mac bagi membolehkan rakyat menikmati manfaat serta pembaharuan yang dibawa oleh sistem tersebut, demikian menurut Perdana Menteri Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pelancaran iPayment di Kompleks Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya semalam.
iPayment dibangunkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan boleh diguna pakai oleh agensi kerajaan tanpa perlu membangunkan sistem pembayaran elektronik sendiri.
Sebelum ini, setiap agensi kerajaan perlu membangunkan sistem pembayaran tanpa tunai secara individu. Dengan iPayment ,semua agensi kini dapat menyediakan perkhidmatan pembayaran elektronik tanpa kos pembangunan tambahan.
Menurut Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hal ini merupakan satu daripada inisiatif dalam reformasi menyeluruh negara, yang mengambil kira keluhan rakyat yang telah lama menghadapi kesulitan dalam menjalankan transaksi dengan agensi kerajaan.
“Penggunaan iPayment dan pembudayaan pembayaran tanpa tunai ini mencerminkan Daya Cipta yang merupakan asas dalam nilai MADANI, dengan mengambil kira kepentingan memanfaatkan teknologi terkini untuk memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
iPayment merupakan sistem terimaan elektronik bersepadu yang selaras dengan dasar kerajaan untuk memacu transformasi digital sektor awam ke arah komuniti tanpa tunai. Sistem ini disediakan bagi kegunaan agensi Kerajaan Persekutuan dalam mengurus bayaran oleh orang awam terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan.
Antara objektif utama pelaksanaan iPayment adalah untuk meningkatkan kecekapan pengoperasian terimaan pada peringkat agensi kerajaan di samping memupuk budaya tanpa tunai dalam kalangan rakyat Malaysia. iPayment boleh diakses melalui tiga saluran pembayaran, iaitu portal, kaunter dan aplikasi mudah alih.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBrs. Puan Nor Yati Ahmad, Akauntan Negara Malaysia serta Ketua-ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah MOF.