Diterbitkan pada 12 Februari 2025, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kadar pengangguran Malaysia pada bulan Disember 2024 mencecah paras terendah sejak 116 bulan, iaitu 3.1 peratus dengan 544.3 ribu penganggur, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam siaran Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Disember dan Suku Tahun Keempat 2024.

Mengulas prestasi keseluruhan, Ketua Perangkawan Malaysia, YBrs. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, “Menjelang penghujung tahun 2024, ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan yang kukuh. Oleh itu, pasaran buruh juga menunjukkan prestasi yang baik, dengan kadar pengangguran terus menurun pada bulan Disember 2024”.

“Guna tenaga mencatatkan perkembangan yang stabil dan bilangan penganggur terus berkurang. Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada bulan Disember 2024 kekal berada pada trend menaik dengan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.32 juta orang berbanding dengan 17.29 juta orang pada bulan sebelumnya, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi, iaitu 70.6 peratus berbanding dengan 70.5 peratus pada bulan November.”

Tambah beliau, bilangan penduduk bekerja pada bulan Disember 2024 terus menunjukkan trend positif, mencecah 16.78 juta orang dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus berbanding dengan 16.75 juta orang pada bulan lalu. 

Sementara itu, bilangan penganggur pada bulan tersebut turun sebanyak 0.4 peratus daripada 546.7 ribu orang pada bulan November 2024 kepada 544.3 ribu orang. Kadar pengangguran pada bulan Disember menurun kepada 3.1 peratus, merekodkan kadar terendah dalam tempoh hampir satu dekad yang pernah dicapai pada bulan Mei 2015, iaitu pada paras 3.1 peratus.

Mengulas lebih lanjut mengenai situasi guna tenaga, YBrs. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa, kategori pekerja yang mewakili 74.9 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk bekerja, menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.56 juta orang ketimbang 12.54 juta orang pada bulan sebelumnya. Kategori penduduk bekerja sendiri juga berada pada trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus kepada 3.12 juta orang (bulan November 2024, 3.11 juta orang).

Menjelaskan lebih lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan Disember 2024, 79.5 peratus daripada jumlah penganggur ialah penganggur aktif, atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan. 

“Bilangan dalam kategori ini berkurang sebanyak 0.8 peratus merekodkan 432.8 ribu orang (bulan November 2024, 436.2 ribu orang). Dalam kalangan penganggur aktif, 62.7 peratus berada dalam pengangguran kurang daripada tiga bulan, manakala 5.8 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.”

Sementara itu, bilangan individu yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, atau penganggur tidak aktif, naik sebanyak 0.8 peratus kepada 111.5 ribu orang (bulan November 2024, 110.6 ribu orang).

Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.3 peratus, merekodkan 299.7 ribu penganggur belia pada bulan Disember 2024 (bulan November 2024, 10.4 peratus atau 300.6 ribu orang). Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun 0.1 mata peratus kepada 6.1 peratus, dengan 410.8 ribu penganggur belia berbanding bulan sebelumnya (bulan November 2024, 6.2 peratus atau 415.6 ribu orang).

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh menunjukkan penurunan sedikit, iaitu sebanyak 0.04 peratus kepada 7.22 juta orang pada bulan Disember 2024 (bulan November 2024, 7.23 juta orang). Kerja rumah atau tanggungjawab keluarga merupakan sebab utama berada di luar tenaga buruh (43.1peratus), dan sebab bersekolah atau menjalani latihan berada pada kedudukan kedua dengan 42.3 peratus.

YBrs. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin juga menyatakan bahawa bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu menurun sebanyak 2.5 peratus kepada 261.4 ribu orang pada suku tahun keempat 2024. Bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu dan sedia menerima tambahan jam bekerja atau guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan masa juga berkurang sebanyak 3.6 peratus kepada 153.4 ribu orang, menyumbang kepada kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan masa sebanyak 0.9 peratus. 

Dari segi kadar pengangguran mengikut negeri, Selangor dan Kedah merekodkan kadar pengangguran terendah, iaitu pada 1.7 peratus pada suku tahun keempat 2024, diikuti dengan Melaka (1.8 peratus), Johor dan Pulau Pinang (2.2 peratus). 

Sementara itu, sembilan negeri mencatatkan peningkatan dalam KPTB, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran. Selangor merekodkan KPTB yang tertinggi, iaitu 76.4 peratus, diikuti dengan Kuala Lumpur (74.9 peratus) dan Pulau Pinang (73.2 peratus).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi