Diterbitkan pada 6 Februari 2025, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) memeterai memorandum persefahaman (MoU)  berkaitan dengan pendidikan cukai di Dewan Al-Khawarizmi, Menara Hasil, Bangi.

MoU berkenaan dimeterai oleh pengurusan tertinggi kedua-dua pihak diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) HASiL, YBrs. Encik Shaharrudy Othman dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, YBrs. Tuan Haji Nasaruddin Haji Shamsuddin. 

MoU ini dimeterai hasil kesepakatan bersama bagi menyahut saranan kerajaan membangunkan negara khususnya mengenai pendidikan dan kesedaran cukai dalam kalangan generasi muda. 

Antara agenda kerjasama utama yang dipersetujui ialah penganjuran aktiviti pendidikan dan kesedaran cukai dalam kalangan ahli pengakap melalui dua program utama tahunan bagi ahli-ahli pengakap, iaitu acara komunikasi yang menggunakan radio amatur Jamboree-on-the Air (JOTA) dan aktiviti perkhemahan dalam talian Jamboree-on-the-Internet (JOTI). 

“Jalinan kerjasama ini bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh lebih 600,000 ahli pengakap seluruh negara tetapi juga dapat menyebarkan mesej yang positif berhubung percukaian dan kepentinganya kepada kemakmuran negara sekali gus berupaya membentuk warganegara yang cakna cukai,” jelas YBrs. Haji Nasaruddin. 

Sementara itu, YBrs. Shaharrudy Othman dalam ucapannya menjelaskan bahawa kerjasama yang dijalin dengan PPM ini merupakan antara inisiatif HASiL bagi mendekati generasi muda dalam menyebarluaskan maklumat dan kesedaran cukai. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) HASiL, YBrs. Encik Shaharrudy Othman menjelaskan bahawa kerjasama yang dijalin dengan PPM ini merupakan antara inisiatif HASiL bagi mendekati generasi muda dalam menyebarluaskan maklumat dan kesedaran cukai.

Generasi muda dan belia di seluruh Malaysia pada masa kini sudah berada dalam kalangan pembayar cukai apabila kerajaan telah mewajibkan pendaftaran nombor pengenalan cukai (TIN) secara automatik bagi warganegara berumur 18 tahun sejak tahun 2022. 

Sebagai rekod, sebanyak 10,849,315 pembayar cukai dalam kalangan belia  berumur 18 hingga 40 tahun telah didaftarkan dalam pangkalan data HASiL sehingga tahun 2024. 

Sehubungan itu, pendedahan mengenai tanggungjawab percukaian kepada golongan muda perlu diperkasa sekali gus dapat bersama-sama membangunkan negara melalui medium percukaian. 

(Dari kiri) Pengarah Bahagian Pendidikan Cukai, Jabatan Khidmat Korporat, YBrs. Encik Masrun Maslim; Pengarah Negeri HASiL Putrajaya, YBhg. Datuk Akmal Johari Ismail; Pengarah Jabatan Khidmat Korporat, YBrs. Puan Noraini Mustafa; TKPE (OP), YBrs. Encik Shaharrudy Othman; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, YBrs. Tn. Haji Nasaruddin Shamsuddin; Timbalan Yang di-Pertua Majlis Pengakap Negara, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Shazilly Ismail Bakti; Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, YBrs. Tn. Haji Ahmad Sabri Saad dan Ahli Majlis Pengakap Negara, YBrs. Tn. Haji A. Rahman Hassan.

Turut hadir ialah Timbalan Yang di-Pertua Majlis Pengakap Negara, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Shazilly Ismail Bakti; Pengarah Jabatan Khidmat Korporat, YBrs. Puan Noraini Mustafa dan pegawai-pegawai dari kedua-dua pihak. 

Inisiatif ini dirancang bakal melahirkan generasi muda yang peka terhadap tanggungjawab membayar cukai. Hal ini seiring dengan matlamat Pelan Korporat LHDNM 2021-2025 untuk memastikan pembayar cukai dan bakal pembayar cukai diberikan pendidikan dan kesedaran cukai pada peringkat awal demi membentuk budaya pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan masyarakat.

Kredit Foto: Lembaga Hasil Dalam Negeri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi