Diterbitkan pada 5 Februari 2025, 19:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjung Malim – Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkukuh kerjasama akademik dengan enam institusi pendidikan di Uzbekistan melalui satu Memorandum Persefahaman (MOU) dan lima Surat Hasrat (LOI).

Langkah strategik ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan akademik antarabangsa, khususnya dalam bidang kewangan, perbankan, keusahawanan dan pendidikan tinggi.

Melalui LoI dengan Banking and Finance Academy (BFA) kerjasama ini bertujuan untuk membangunkan program pascasiswazah dalam kewangan dan perbankan yang melibatkan bidang Perakaunan Antarabangsa, Percukaian, Pengurusan Risiko, serta Kewangan dan Perbankan Islam.

MoU dengan Termez State University (TerSU) pula bagi merancang penubuhan pusat akademik luar pesisir di Wilayah Surkhandarya yang menawarkan program bertaraf antarabangsa dengan pemantauan kualiti berasaskan piawaian Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB).

Sementara itu, LoI dengan Namangan State University pula memfokuskan penubuhan pusat keusahawanan sebagai hab latihan dan penyelidikan bagi memperkasakan bidang keusahawanan di Wilayah Namangan.

Dalam pada itu, LoI yang ditandatangani dengan Navoi State University pula bertujuan untuk membangunkan program akademik bersama dalam bidang ekonomi, pengurusan dan teknologi kewangan serta menggalakkan pemindahan ilmu dan penyelidikan.

Kerjasama ini bakal memberikan manfaat besar kepada kedua-dua negara melalui peningkatan kualiti pendidikan tinggi, pemindahan ilmu dan pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang berkaitan dengannya.

Melalui program ini, UUM juga akan memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan bertaraf antarabangsa yang membuka lebih banyak peluang kerjasama  pada peringkat global.

Ujar Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan,

Kita yakin dalam tempoh 12 bulan, perjanjian LoI yang ditandatangani ini berpotensi dimuktamadkan menjadi Memorandum Perjanjian (MOA) bagi merealisasikan pelaksanaan program yang dipersetujui dan membawa impak positif kepada sektor pendidikan dan ekonomi kedua-dua negara nanti.

Majlis menandatangani LoI ini turut disaksikan oleh wakil daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia serta pemimpin akademik dari Uzbekistan.

Kedua-dua pihak berharap agar perjanjian ini dapat diperkukuh melalui pelaksanaan program yang dirancang dalam masa terdekat.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberikan penghormatan menjadi penganjur untuk mengendalikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Uzbekistan Kali Pertama yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Majlis perasmian forum ini disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Yang turut hadir sama menyampaikan ucapan ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan, The Hon. Konratbay Sharipov.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi