Diterbitkan pada 24 Januari 2025, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menitikberatkan keperluan untuk memperkukuh agenda tenaga dengan mengurangkan jurang antara negara ASEAN demi membina kemakmuran dan memacu kemajuan di rantau ini.

Bagi memenuhi agenda tersebut, PETRA telah memperkenalkan tema bagi mesyuarat sektor tenaga ASEAN 2025, iaitu “Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity”.

Tema tersebut diperkenalkan semasa Mesyuarat Khas Pegawai Kanan ASEAN mengenai Tenaga yang berlangsung pada 23 Januari 2025 susulan beberapa mesyuarat berkaitan dengannya yang diadakan sehari sebelumnya.

Melalui usaha berasaskan tema ini, kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan menerusi pertumbuhan ekonomi yang menitikberatkan agenda inklusif dan kelestarian.

PETRA menjelaskan bahawa mesyuarat tersebut telah menerima pakai lapan keutamaan tahunan yang dicadangkan bagi sektor tenaga ASEAN menjelang tahun 2025.

Mesyuarat tersebut telah memberikan persetujuan untuk beberapa inisiatif penting, termasuklah menandatangani perjanjian baharu bagi menggantikan Perjanjian Jaminan Petroleum ASEAN (APSA); Pangkalan Data Kecekapan Tenaga ASEAN serta Platform Pelaburan (Pembangunan); memuktamadkan Pelan Hala Tuju Jangka Panjang bagi Tenaga Boleh Baharu dan memulakan pembangunan rangka kerja Pensijilan Tenaga Boleh Baharu ASEAN.

Mesyuarat turut membincangkan draf APSA diikuti dengan pembentangan oleh Pusat Tenaga ASEAN mengenai terma rujukan bagi rangka kerja pembangunan kabel tenaga dasar laut dengan kedua-duanya akan menjadi elemen sokongan utama dalam merealisasikan aspirasi Grid Kuasa ASEAN.

Secara khusus, dalam agenda Grid Kuasa ASEAN (APG), terdapat kelulusan untuk menandatangani dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) APG yang dipertingkatkan, serta perbincangan mengenai terma rujukan untuk rangka kerja pembangunan kabel kuasa bawah laut dan pengumuman tentang mekanisme pembiayaan untuk APG.

Mesyuarat tersebut turut meluluskan dokumen dasar berkaitan dengan Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026–2030 serta memulakan langkah awal bagi Pembangunan Rangka Kerja Pelaksanaan Loji Jana Kuasa Nuklear.

Mesyuarat turut mencapai dua hasil utama berkaitan dengan tenaga untuk tahun 2025, iaitu pemeteraian dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah diperbaharui bagi APG serta dokumen Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu bagi tempoh 2026–2030.

Kedua-dua dokumen ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama berterusan antara negara anggota ASEAN untuk memajukan sektor tenaga, seterusnya menjamin bekalan tenaga yang stabil dan lestari bagi rantau ini.

Mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan dokumen MoU yang diperbaharui untuk APG serta pemeteraian Perjanjian Kerangka ASEAN mengenai Jaminan Petroleum.

Mesyuarat Khas Pegawai Kanan ASEAN mengenai Tenaga telah dianjurkan oleh PETRA dari 22 Januari hingga 24 Januari di Langkawi, Kedah.

YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA telah mempengerusikan Mesyuarat Pusat Tenaga ASEAN (ACE) bersama Majlis Tadbir ACE ke-27 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Langkawi, pagi tadi.

Pada hari pertama mesyuarat tersebut, delegasi dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam turut hadir, manakala Timor Leste mengambil bahagian sebagai pemerhati.

PETRA turut dijadualkan mempengerusikan dua mesyuarat utama berkaitan dengan sektor tenaga, iaitu Mesyuarat Pegawai Kanan mengenai Tenaga yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 16 Jun hingga 20 Jun 2025, serta Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43 yang akan diadakan di Kuala Lumpur dari 22 September hingga 26 September tahun ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi