Diterbitkan pada 27 Januari 2025, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pengangguran belia di Malaysia terus menjadi isu utama dalam konteks perkembangan ekonomi digital dan transformasi sektor pekerjaan. Walaupun bilangan graduan meningkat, peluang pekerjaan yang mencukupi belum dapat disediakan, menyebabkan kadar pengangguran belia kekal tinggi. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa kadar pengangguran keseluruhan menurun kepada 3.2% pada bulan Ogos 2024, namun kadar pengangguran belia berusia antara 15 hingga 24 tahun masih tinggi pada 10.4%, melibatkan lebih 300,000 belia. Isu ini perlu difahami dan ditangani kerana penyelesaiannya bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan individu, tetapi juga memperkukuh asas ekonomi negara.

Satu daripada faktor utama pengangguran belia ialah penurunan permintaan agregat dalam ekonomi. Keadaan ekonomi yang tidak stabil, seperti krisis kewangan atau kemerosotan ekonomi global, mengurangkan permintaan terhadap barang dan perkhidmatan, sekali gus menjejaskan peluang pekerjaan. Sektor seperti perkhidmatan dan makanan segera, yang bergantung kepada pekerja muda, sering menjadi yang pertama terjejas. Sebagai contoh, boikot terhadap syarikat besar seperti McDonald’s boleh memberikan impak besar kepada ekonomi tempatan, menyebabkan syarikat mengurangkan operasi dan membuang pekerja, terutamanya belia yang bekerja dalam sektor berisiko.

Ketidaksesuaian antara kemahiran yang dimiliki graduan dan keperluan industri juga menyumbang kepada pengangguran belia. Laporan Bank Dunia menunjukkan bahawa banyak graduan lepasan universiti terpaksa bekerja dalam pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan mereka. Statistik juga menunjukkan sebanyak 26.9% graduan pada tahun 2022 bekerja di luar bidang yang sepatutnya. Keadaan ini disebabkan oleh kekurangan peluang pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan graduan, dan jurang besar antara sistem pendidikan dan keperluan pasaran kerja. Oleh itu, banyak graduan terpaksa menerima pekerjaan dengan gaji rendah atau pekerjaan yang tidak memerlukan kelayakan tinggi.

Kemajuan teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI) dan robotik, telah mengubah landskap pasaran pekerjaan global, termasuk di Malaysia. Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) menjangkakan 78 juta pekerjaan baharu akan dicipta menjelang tahun 2030, tetapi 92 juta pekerjaan berisiko terjejas oleh perubahan teknologi ini. Kajian Universiti Malaya pula menunjukkan bahawa lebih 40% pekerjaan di Malaysia berisiko terjejas oleh automasi. Oleh itu, golongan belia perlu menguasai kemahiran teknikal yang relevan dan terkini, seperti AI, data besar dan keselamatan siber. Kemahiran manusia seperti pemikiran kreatif dan ketahanan juga akan terus menjadi kritikal.

Kerjasama antara universiti dengan industri perlu diperhebat untuk memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dengan pasaran kerja. Penyelarasan kurikulum pendidikan tinggi perlu memberikan tumpuan kepada kemahiran teknikal dan digital. Latihan praktikal dan peluang untuk berkolaborasi dalam projek sebenar dengan syarikat boleh meningkatkan kebolehan graduan dalam menghadapi transformasi digital, serta memperkukuh daya saing mereka pada peringkat global.

Ekonomi gig yang semakin berkembang berpotensi menjadi penyelesaian kepada isu pengangguran belia. Hal ini demikian kerana ekonomi gig menawarkan fleksibiliti dalam bekerja, membolehkan belia menyesuaikan jadual kerja dengan keperluan peribadi. Namun begitu, ekonomi gig juga menghadapi cabaran dari segi kebajikan sosial dan kestabilan kewangan kerana banyak pekerjaan dalam sektor ini bersifat sambilan atau kontrak yang tidak menawarkan faedah seperti insurans kesihatan dan pencen. Oleh itu, dasar yang jelas dan komprehensif perlu digubal untuk memberikan perlindungan dan hak pekerja gig, menjadikan ekonomi gig pilihan yang lebih mampan, terutamanya bagi pelajar di institusi pengajian tinggi.

Sikap graduan yang terlalu memilih pekerjaan juga menyumbang kepada pengangguran. Banyak graduan enggan menerima pekerjaan yang dianggap tidak sesuai dengan kelulusan mereka atau mengharapkan gaji yang lebih tinggi. Oleh itu, penting untuk membentuk sikap yang lebih terbuka terhadap pelbagai jenis pekerjaan dan melihatnya sebagai peluang untuk membina pengalaman. Latihan kemahiran dan penekanan terhadap kebolehan beradaptasi dengan keperluan industri dapat membantu mengurangkan jurang ini.

Pengangguran belia di Malaysia mencerminkan perubahan besar dalam pasaran pekerjaan yang didorong oleh kemajuan teknologi dan ekonomi digital. Tindakan holistik perlu diambil oleh kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta untuk menyediakan belia dengan kemahiran yang sesuai dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Inovasi dalam pendidikan, kerjasama antara sektor swasta dengan pendidikan, serta pengukuhan dasar pekerjaan gig yang inklusif adalah kunci untuk memastikan masa depan yang cerah bagi generasi akan datang. Dengan usaha yang bersatu padu, Malaysia dapat mengatasi cabaran pengangguran belia dan membina tenaga kerja yang lebih berdaya saing dalam era ekonomi digital.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi