Diterbitkan pada 20 Januari 2025, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Program “Pasar Lokal Pasar Kita” mengambil inisiatif secara praktikal untuk berkongsi strategi dan model perniagaan kepada mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis bersempena dengan Career Kickstart Fair 1.0 yang berlangsung pada 17-18 Januari 2025 di Perkarangan Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Menurut Koordinator “Pasar Lokal Pasar Kita“, Puan Juliana Arianti Armain, mahasiswa universiti ini mampu mempelajari teknik dalam perniagaan yang lebih realistik, di samping memupuk keberanian untuk menceburi bidang keusahawanan.

Pasar Lokal Pasar Kita memberikan inspirasi kepada mahasiswa untuk menceburi bidang perniagaan dan keusahawan dengan lebih dekat. Hal ini penting sebagai satu daripada usaha untuk menarik perhatian mahasiswa menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

Menurut beliau, kehadiran penjual di “Pasar Lokal Pasar Kita” membuka peluang pekerjaan secara sambilan kepada mahasiswa untuk menambah pendapatan terutamanya kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Puan Rosnani Nazri berkata, program “Pasar Lokal Pasar Kita” merupakan satu usaha murni dalam memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

“Usahawan muda dan berjaya perlu dipupuk nilai keyakinan, komitmen, dedikasi, ketegasan dan amalan yang mapan ke arah mempraktikkan semangat keusahawanan dalam menyokong dan merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025,” kata beliau.

Mahasiswa perlu bijak mengambil peluang ini bagi mempelajari strategi dan model perniagaan daripada penjual yang terlibat kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas dan strategi perniagaan yang mungkin tidak diajar dalam kuliah.

Terdapat empat jenis perniagaan yang dibawa oleh penjual “Pasar Lokal Pasar Kita”, iaitu produk makanan dan minuman, berkas (bundle), aksesori dan perkhidmatan spa. Pengunjung yang hadir terdiri daripada warga UiTM dan orang awam.

“Pasar Lokal Pasar Kita” membuka peluang kepada mahasiswa mengenali pelbagai jenis perniagaan dengan lebih praktikal dan realistik.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi