Diterbitkan pada 17 Januari 2025, 10:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam merancakkan ekonomi negeri dengan perancangan pembinaan Pangsapuri Pahangku dan pembangunan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AIDC).

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah bersetuju untuk membangunkan projek perumahan Pangsapuri Pahangku di kawasan berhampiran stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bentong.

Ujar beliau,

Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan mampu milik dan selesa kepada rakyat Pahang khususnya kepada golongan muda selain memanfaatkan sistem pengangkutan ECRL.

Perangkaan projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) di setiap stesen ECRL seperti pusat komersial, perumahan, pusat pendidikan serta projek komuniti dijangka memberikan impak positif kepada pembangunan sosioekonomi di Bentong.

Projek pembangunan itu bakal mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan keselesaan hidup rakyat serta memperkukuh jaringan infrastruktur perumahan dan pengangkutan.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan membangunkan AIDC sebagai platform baharu perniagaan secara dalam talian berasaskan produk pertanian melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

Tambah beliau lagi,

Projek tersebut yang pertama di negeri pantai timur dijangka akan mula dilaksanakan pada bulan Januari 2026 dengan menyasarkan produk tempatan bagi pemasaran tempatan dan juga global dengan memanfaatkan teknologi pengkomputeran awam dan teknologi kecerdasan buatan (AI). Hal ini dapat dilakukan melalui pembangunan pusat data pengkomputeran pintar berskala besar serantau dan menggalakkan pembangunan industri digital negara.

Beliau berharap agar usaha tersebut dapat membantu pengusaha memasarkan produk pertanian mereka serta merancakkan lagi ekonomi negeri Pahang.

Beliau turut berharap agar kedua-dua projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik agar manfaatnya diterima oleh rakyat di negeri Pahang.

Kredit Foto: FB Rasmi YAB Menteri Besar Pahang
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi