Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kerja ASEAN+3 bersetuju dengan cadangan Malaysia dalam menetapkan Keutamaan Ekonomi Utama (PEDs) bagi ASEAN 2025 seperti meningkatkan akses kepada pembiayaan untuk peralihan yang mampan dan adil terhadap iklim di ASEAN.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), PEDs ASEAN akan turut mempercepat pertumbuhan pasaran modal ASEAN yang lebih mampan, terhubung dan inklusif serta mempromosikan kesinambungan pembayaran segera yang inklusif di ASEAN.
PEDs bagi ASEAN+3 pula menetapkan keahlian penuh negara ASEAN+3 dalam Southeast Asia Disaster Risk Insurance Facility (SEADRIF), perluasan keahlian ASEAN+3 Finance Think-tank Network (AFTN), meningkatkan kredibiliti Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM) melalui transisi daripada ikrar (pledges) kepada modal berbayar dan meningkatkan akses CMIM.
Antara perkara utama lain yang dibincangkan termasuklah cadangan Pembiayaan Risiko Bencana (DRFI).
Pembentangan Pelan Hala Tuju DRFI 2026–2028 bertujuan untuk menangani kerentanan serantau terhadap bencana alam dan cadangan menubuhkan platform baharu pada peringkat Menteri Kewangan ASEAN+3 yang khusus untuk membincangkan dasar fiskal.
Selain itu, pembentangan juga berkaitan dengan cadangan membangunkan mekanisme Instrumen Pelarasan Dasar (PAI) untuk membantu negara ahli meningkatkan kestabilan kedudukan kewangan negara masing-masing.
Perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat itu akan diperhalus dan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kerja ASEAN+3 yang dijadualkan pada 5 Mac 2025 hingga 6 Mac 2025 di Xiamen, China.
Perkara itu kemudian akan dibentangkan untuk persetujuan pada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN+3 yang dijadualkan pada bulan Mei 2025.”
Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kerja ASEAN+3 ini telah dipengerusikan bersama oleh Malaysia dan China.
Mesyuarat ini telah berlangsung pada 14 Januari 2025 hingga 15 Januari 2025 di PARKROYAL Langkawi Resort, Kedah.
Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 135 pegawai dan anggota delegasi daripada Kementerian Kewangan dan bank pusat negara anggota ASEAN+3 yang terdiri daripada ASEAN, China, Korea Selatan dan Jepun.
Sebagai Pengerusi Bersama Mesyuarat, Malaysia diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz sementara China diwakili oleh Zhang Minwen, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kewangan.
Malaysia bersiap sedia untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dengan tiga tonggak utama ASEAN, iaitu Komuniti Ekonomi (AEC), Komuniti Keselamatan Politik (APSC) dan tonggak Masyarakat Sosiobudaya (ASCC).