Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) terus memperkukuh usaha perlindungan hak cipta di Malaysia melalui kerjasama strategik dengan semua pihak berkepentingan termasuk pemain industri dalam menghadapi cabaran akibat perkembangan pesat dunia digital.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, YB Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dalam aspek kesedaran pendaftaran harta intelek konteks hak cipta, dari tahun 2012 hingga tahun 2024, sebanyak 69,442 permohonan Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta telah difailkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Peningkatan permohonan hak cipta ini menggambarkan tahap kesedaran yang semakin tinggi di Malaysia mengenai kepentingan melindungi hasil karya dan pengurusan harta intelek.
Menurut beliau, perkembangan pesat landskap digital menuntut keperluan strategi dan mekanisme perlindungan hak intelek yang komprehensif sejajar dengan tuntutan zaman.
Sebagai contoh, berdasarkan kajian oleh Asia Video Industry Association (AVIA), Malaysia mencatatkan jumlah tontonan halaman sebanyak 1 bilion antara bulan November 2023 hingga bulan Ogos 2024 yang membawa kepada risiko cetak rompak digital.
Sehubungan dengan itu, KPDN melalui MyIPO telah mengambil langkah yang lebih tegas untuk menghalang penyebaran kandungan cetak rompak yang memberikan impak buruk kepada pencipta karya dan ekonomi digital negara, termasuk pindaan dalam Akta Hak Cipta 1987.
Akta yang dipinda pada 2022 ini mengenakan hukuman berat terhadap pihak yang melanggar hak cipta digital dengan denda sehingga RM500,000 dan hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Beliau berkata, KPDN dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penyedia perkhidmatan Internet (IPS) juga telah melaksanakan tindakan sekatan akses terhadap 3,682 laman sesawang haram dari tahun 2021 hingga November tahun 2024 yang menyebarkan kandungan cetak rompak seperti filem dan muzik popular.
Tindakan ini adalah sebahagian daripada komitmen kementerian untuk melindungi karya kreatif tempatan daripada dieksploitasi secara haram.
Bagi memperkukuh lagi usaha ini, KPDN juga telah memperkenalkan Program Cyber Copyright Enforcement (CyCORE), yang melibatkan kerjasama antara kementerian, SKMM, IPS dan pemilik hak cipta.
Menurut beliau, melalui platform kerjasama ini, KPDN komited untuk menghapuskan pengedaran cetak rompak digital yang berleluasa di Internet.
KPDN akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi yang terlibat dalam usaha menangani isu cetak rompak digital.
Pada masa yang sama, iltizam kerjasama antara semua pihak industri juga amat diperlukan bagi memastikan ikhtiar ini bersifat pendekatan secara menyeluruh.
Langkah ini penting bagi memastikan karya asli tempatan dilindungi daripada penyalahgunaan dan kekal menjadi kebanggaan negara pada peringkat global.