Diterbitkan pada 14 Januari 2025, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan mengadakan kunjungan rasmi ke Ibu Pejabat Nothern Corridor Implementation Authority (NCIA) pagi ini untuk memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Kunjungan ini berkaitan dengan kerjasama strategik dalam usaha memajukan pembangunan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Sesi perbincangan antara kedua-dua pihak bagi membincangkan peluang kolaborasi.

Ketibaan delegasi UUM disambut oleh Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan bersama-sama pengurusan kanan NCIA.

Dalam pertemuan ini, perbincangan tertumpu pada peluang kolaborasi dalam bidang pembangunan modal insan, penyelidikan inovasi dan projek pembangunan komuniti yang berimpak tinggi.

Dr. Mohd Foad menegaskan komitmen UUM untuk terus memainkan peranan sebagai institusi pendidikan tinggi yang menyokong pembangunan negara, khususnya di NCER.

Ujar beliau,

Sebagai universiti pengurusan terkemuka, UUM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi seperti NCIA bagi melahirkan graduan berkualiti tinggi yang dapat memenuhi keperluan pasaran kerja dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Ujar Mohamad Haris Kader Sultan pula,

NCIA amat menghargai sumbangan UUM dalam menyokong visi kami untuk menjadikan NCER sebagai wilayah yang makmur dan berdaya tahan.

Kerjasama strategik ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelbagai pihak, terutamanya dalam memperkasakan pembangunan modal insan serta memperkenalkan inovasi baharu yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi.

Kunjungan ini juga menyaksikan perbincangan tentang inisiatif bersama dalam memperkasakan pelajar dan komuniti tempatan melalui program latihan kemahiran, keusahawanan, serta peluang penyelidikan yang dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat NCER.

Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan (dua dari kanan) dan Profesor Dr. Russayani Ismail (kanan).

Melalui sinergi antara UUM dengan NCIA, diharapkan usaha kolaboratif ini akan terus menyumbang kepada kejayaan pembangunan wilayah dan peningkatan kesejahteraan rakyat sejajar dengan aspirasi negara.

Yang turut menyertai kunjungan ini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Profesor Dr. Russayani Ismail, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti–Industri (CUIC), Profesor Dr. Chandrakantan Subramaniam dan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Profesor Madya Dr. Mohd Faizal Omar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi