Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin menegaskan bahawa kompetensi pegawai serta pendigitalan sistem HASiL merupakan elemen penting dalam memperkasa pentadbiran cukai dan meningkatkan kecekapan kutipan hasil negara.
Beliau turut optimis bahawa mekanisme pencukaian negara mampu memenuhi matlamat kerajaan untuk mencapai kesamataraan sosioekonomi.
“Hasrat kerajaan untuk mencapai keseimbangan sosioekonomi melalui pendekatan sistem pencukaian mampu direalisasikan,” kata beliau sewaktu merasmikan Seminar Belanjawan 2025 di Berjaya Times Square.

Seminar ini yang turut disertai oleh Presiden Chartered Tax Institute Malaysia (CTIM), YBrs. Encik Soh Lian Seng serta barisan pengurusan kanan HASiL menjadi platform perbincangan mendalam berkenaan cadangan Belanjawan 2025.
Satu daripada topik penting yang dibincangkan ialah pelaksanaan e-Invois di Malaysia. Langkah ini diharap dapat meningkatkan ketelusan, kecekapan dan kepatuhan cukai sebagai sebahagian daripada usaha reformasi sistem percukaian negara.
Ahli panel yang terdiri daripada pegawai kanan HASiL, ahli majlis CTIM, ahli akademik dan pemain industri telah membincangkan pelbagai isu termasuklah pelaksanaan tadbir urus percukaian korporat. Fokus perbincangan bertujuan untuk meningkatkan pematuhan cukai oleh syarikat serta memperkukuh integriti sistem percukaian negara.
Seminar Belanjawan 2025 bertujuan untuk membekalkan maklumat percukaian terkini kepada pihak berkepentingan, sekali gus meningkatkan pemahaman terhadap undang-undang dan dasar percukaian yang berkuat kuasa. Seminar ini turut disiarkan secara maya dengan penyertaan lebih daripada 400 orang peserta, termasuk pengamal percukaian, ahli badan profesional dan orang awam.