Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan disalurkan melalui kad pengenalan atau MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar di seluruh negara mulai 15 Januari 2025.
Menurut Perdana Menteri Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, penyaluran SARA melalui MyKad secara bulanan ini dibuat untuk memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barangan termasuk makanan asas.
Di bawah program SARA, penerima boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 buah di seluruh negara, berbanding dengan 700 buah kedai pada tahun 2024.
“Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barang makanan asas,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan I berkata, kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding dengan RM1,200 pada tahun sebelumnya.
Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga bulan Mac 2025. Mulai bulan April 2025 kadar ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.
Menurut beliau, mekanisme yang seragam ini merupakan penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding dengan penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Pada masa yang sama, penambahbaikan SARA merangkumi sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah, iaitu RM13 bilion berbanding dengan RM10 bilion pada tahun lalu.
Tambah beliau, kira-kira 5.4 juta penerima STR turut akan menerima bantuan tambahan SARA mulai bulan April 2025. Mereka terdiri daripada 700,000 penerima SARA dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih.
Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan. Golongan warga emas yang tiada pasangan pula akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan.