Diterbitkan pada 13 Julai 2026, 20:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

New Delhi – Malaysia terus memperkukuh komitmen Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam membina hubungan ekonomi yang lebih erat, inklusif dan berdaya tahan dengan India menerusi rundingan penaiktarafan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN–India (AITIGA).

Komitmen tersebut dizahirkan melalui penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama AITIGA (AITIGA JC) Ke-13 dan mesyuarat berkaitan dengannya yang berlangsung di New Delhi, India dari 6 Julai hingga 10 Julai 2026.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Antarabangsa) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YBhg. Dato’ Mastura Ahmad Mustafa, yang turut mempengerusikan Mesyuarat AITIGA JC bagi pihak ASEAN bersama-sama Additional Secretary, Department of Commerce, Ministry of Commerce and Industry, India, Nitin Kumar Yadav.

Mesyuarat tersebut menetapkan hala tuju strategik bagi mempercepat rundingan ke arah memuktamadkan penaiktarafan AITIGA menjelang akhir tahun 2026. Perkembangan itu mencerminkan komitmen berterusan ASEAN dan India untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, serta memastikan perjanjian berkenaan kekal relevan, moden dan responsif terhadap keperluan perdagangan semasa.

Bagi menyokong kemajuan rundingan, beberapa mesyuarat kumpulan kerja turut diadakan secara serentak melibatkan Sub-Committee on Customs Procedures and Trade Facilitation, Sub-Committee on National Treatment and Market Access dan Sub-Committee on Rules of Origin. Perbincangan teknikal tersebut bertujuan mempercepat penyelesaian isu berkaitan dengan prosedur kastam, akses pasaran dan peraturan asal.

Penaiktarafan AITIGA dijangka memodenkan peruntukan perjanjian sedia ada, memperkukuh integrasi perdagangan dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan serantau. Inisiatif ini juga dijangka mewujudkan lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi yang memberikan manfaat kepada komuniti perniagaan dan rakyat di seluruh ASEAN, serta India.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi