Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila menerbitkan buku keusahawanan dalam tulisan Braille pertama di Malaysia, Memperkasa Asas Berniaga (MAB) bagi memperluas akses komuniti orang buta terhadap ilmu keusahawanan dan peluang menjana pendapatan secara berdikari.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, YBrs. Profesor Dr. Suriani Abu Bakar berkata, penerbitan buku itu membuktikan penyelidikan universiti bukan sahaja menghasilkan penemuan akademik, malah menyediakan penyelesaian praktikal yang memberikan manfaat kepada masyarakat.
Menurut beliau, usaha tersebut mencerminkan komitmen UPSI dalam memastikan hasil penyelidikan bersifat inklusif, serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada golongan kurang upaya melalui bidang keusahawanan.
Buku tiga jilid itu dihasilkan menerusi penyelidikan yang diketuai oleh YBrs. Dr. Mohamad Rohieszan Ramdan selepas kajian bersama-sama dengan Malaysian Association for the Blind (MAB) pada tahun 2024 mendapati usahawan orang buta berdepan dengan kekurangan bahan rujukan keusahawanan yang mudah diakses.
Beliau berkata, penerbitan buku berkenaan direalisasikan menerusi Geran Fundamental Research Grant Scheme–Exploratory Concept (FRGS-EC) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bernilai RM30,000 sepanjang tempoh penyelidikan selama tiga tahun.
Diterbitkan oleh Penerbit UPSI pada tahun 2025, buku Memperkasa Asas Berniaga (MAB) dalam Kalangan Usahawan Kurang Upaya Penglihatan menghimpunkan panduan praktikal meliputi pengurusan kewangan, pemasaran digital, penggunaan WhatsApp Business dan TikTok, serta langkah memulakan perniagaan.

Penerbitan tersebut melibatkan kerjasama MAB, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa institusi pendidikan tinggi. Inisiatif itu dijangka memperkukuh penyertaan komuniti orang buta dalam sektor keusahawanan, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
Projek penyelidikan itu turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dibentangkan pada QS Reimagine Education Awards and Conference 2024 di London dalam kategori Access, Diversity and Inclusion.
