Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan memaklumkan pelaksanaan hari pertama akses awal BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia berjalan lancar apabila sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan baik tanpa sebarang aduan atau masalah serius dilaporkan oleh penerima subsidi mahupun syarikat minyak.
Sepanjang hari pertama pelaksanaan pada 27 Jun 2026, hampir 24 000 transaksi direkodkan membabitkan pembelian hampir satu juta liter diesel bersubsidi bernilai RM2.1 juta pada harga RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan merakamkan penghargaan kepada pengguna, pengusaha stesen minyak, syarikat minyak dan semua agensi pelaksana atas kerjasama yang diberikan dalam memastikan akses awal BUDI Diesel dilaksanakan secara teratur.
Pelaksanaan akses awal itu merupakan persediaan ke arah pelaksanaan penuh BUDI Diesel di seluruh negara bermula 1 Julai 2026. Bermula tarikh tersebut, rakyat Malaysia yang layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di seluruh negara melalui pengesahan MyKad.
Kerajaan menjelaskan bahawa pembaharuan subsidi diesel dilaksanakan bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi negara kekal mencukupi untuk rakyat dan sektor yang benar-benar memerlukan, di samping mengurangkan ketirisan dan memastikan subsidi disalurkan secara lebih bersasar kepada golongan yang layak. Pendekatan itu turut mengambil kira corak penggunaan diesel yang berbeza mengikut lokasi, jenis kenderaan dan keperluan operasi di seluruh negara.
Bagi pemilik kenderaan diesel persendirian, subsidi disalurkan melalui BUDI Diesel menggunakan MyKad dengan had kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan. Memandangkan majoriti kenderaan diesel persendirian terdiri daripada pikap dan jip yang digunakan untuk perjalanan harian, pekerjaan, serta pergerakan di kawasan pedalaman, pemilik yang layak boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan yang meningkatkan jumlah kelayakan kepada 300 liter sebulan.
Hingga pukul 11.00 pagi, 28 Jun 2026, portal rasmi BUDI MADANI telah menerima lebih daripada 13 000 permohonan baharu bagi tambahan kuota 100 liter sebulan daripada pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.
Bagi sektor pengangkutan awam, logistik dan kenderaan komersial yang layak, subsidi diesel terus disalurkan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengikut kategori dan keperluan operasi masing-masing.
KPDN juga akan menyelaras pelaksanaan subsidi bagi kenderaan persendirian milik syarikat jenis pikap dan jip yang layak selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 26 Jun 2026.
Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan dengannya bagi memuktamadkan data kumpulan pengguna lain yang bergantung pada diesel, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman dan laluan sungai bagi memastikan tiada golongan yang memerlukan tercicir daripada menerima subsidi.
Kerajaan menegaskan akan terus memantau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel dan menambah baik mekanisme pelaksanaannya berdasarkan maklum balas rakyat, serta industri.
Orang ramai boleh menyemak status kelayakan, memohon tambahan had kelayakan BUDI Diesel dan mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI MADANI, manakala permohonan SKDS boleh dibuat melalui portal MySubsidi KPDN.