Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan akan menyemak semula kadar kuota tetap diesel bersubsidi bagi kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan agihan subsidi lebih tepat, adil dan selaras dengan keperluan operasi sebenar syarikat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dipersetujui Kabinet susulan penilaian terhadap pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api menerusi inisiatif BUDI MADANI, SKDS dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Menurut beliau, pelarasan yang dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada bulan Ogos ini tidak lagi bergantung semata-mata pada purata penggunaan diesel mengikut jenis kenderaan, sebaliknya mengambil kira beberapa faktor teknikal seperti Berat Dengan Muatan (BDM), kapasiti enjin, kategori lori, penggunaan bahan api dan corak operasi kenderaan.
“Kita mengambil kira faktor teknikal supaya kuota yang diberikan benar-benar menepati kos operasi syarikat pengangkutan,” katanya pada sidang media selepas sesi turun padang sempena pelaksanaan akses awal BUDI Diesel.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah diarahkan untuk mempercepat pelaksanaan dasar baharu itu, serta menambah baik sistem sedia ada.
Dalam perkembangan berkaitan, Kabinet turut bersetuju memperluas subsidi diesel kepada peniaga kecil yang menggunakan kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama syarikat atau perniagaan.
Armizan berkata, pemilik jip dan pikap diesel persendirian yang layak juga boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter, menjadikan jumlah keseluruhan kuota kepada 300 liter berbanding dengan kuota asas sebanyak 200 liter.
Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 4,146 stesen minyak di seluruh negara kini bersedia melaksanakan BUDI Diesel, sekali gus membolehkan penerima yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad atau aplikasi digital syarikat minyak.