Diterbitkan pada 29 Jun 2026, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim melancarkan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030): Ke Arah Negara Kecerdasan Buatan (AI) sebagai strategi nasional untuk mempercepat transformasi digital negara, serta mempersiapkan Malaysia menghadapi era AI, automasi dan ekonomi berasaskan data.

Pelan tindakan tersebut dilancarkan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), hari ini.

Perdana Menteri berkata, MD2030 merupakan ikhtiar strategik negara untuk memperkukuh daya tahan ekonomi dan meningkatkan daya saing Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik, serta persaingan ekonomi digital global.

Menurut beliau, setiap inisiatif di bawah MD2030 akan dilaksanakan secara tersusun, berdisiplin dan berimpak bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat, perniagaan dan sektor awam.

“Pelan ini akan memacu Malaysia ke arah sebuah negara AI yang inklusif menjelang tahun 2030,” katanya.

Dalam mesyuarat sama, beliau turut menegaskan bahawa pembangunan perkhidmatan digital sektor awam perlu dilaksanakan secara dalaman di bawah penyelarasan Kementerian Digital menerusi Jabatan Digital Negara bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan data negara.

Menurutnya, pendekatan tersebut mampu mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar, memperkukuh kepakaran digital dalam sektor awam, serta membangunkan ekosistem digital yang lebih mampan, selamat dan cekap.

Beliau berkata, kejayaan MD2030 memerlukan komitmen berterusan daripada semua kementerian dan agensi bagi memastikan transformasi digital negara dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Kredit Foto: Telegram Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi