Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan MADANI mengumumkan bahawa harga dan kaedah subsidi diesel diseragamkan di seluruh negara mulai 1 julai 2026 menerusi pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).
Penyelarasan ini dilakukan bagi memastikan sistem subsidi yang lebih seragam, telus dan bersasar, selain membolehkan manfaat subsidi dinikmati oleh rakyat yang benar-benar layak.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pembaharuan penyasaran subsidi Kerajaan MADANI bagi mengurangkan ketirisan, penyalahgunaan dan aktiviti penyeludupan yang memberikan tekanan kepada kewangan negara.
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, selaras dengan prinsip penyasaran subsidi, golongan bukan warganegara tidak lagi layak menikmati subsidi diesel. Bermula 1 Julai 2026, harga runcit diesel di seluruh negara akan ditetapkan pada kadar tanpa subsidi, manakala sebahagian penjimatan daripada langkah tersebut akan disalurkan semula kepada rakyat melalui pengurangan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter untuk pengguna yang layak.
Menurut beliau, pembaharuan itu bertujuan mewujudkan satu mekanisme subsidi diesel yang seragam di seluruh negara dengan meneruskan penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan kelayakan sejajar dengan kejayaan pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Dianggarkan sebanyak 700 000 pemilik kenderaan diesel persendirian akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad di semua stesen minyak di Malaysia.
Pada masa yang sama, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) diperluas ke Sabah dan Sarawak bagi membolehkan kira-kira 70 000 kenderaan komersial yang layak, khususnya dalam sektor pengangkutan barangan pengguna menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter menerusi penggunaan kad flit syarikat minyak.
Kerajaan menjelaskan bahawa BUDI Diesel merupakan kesinambungan usaha untuk memastikan manfaat subsidi diesel dapat dinikmati oleh rakyat secara lebih meluas dan bersasar.
Selain itu, pelaksanaan mekanisme baharu tersebut turut membolehkan penjimatan kerajaan disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Melalui integrasi dengan BUDI95, MyKad akan digunakan sebagai alat pengesahan kelayakan subsidi diesel, manakala pembelian bahan api boleh dilakukan seperti biasa menggunakan pelbagai kaedah pembayaran yang tersedia di stesen minyak, termasuk tunai, kad kredit, kad debit dan e-dompet.
Bagi penerima sedia ada BUDI Diesel Individu, bantuan tunai bulanan RM400 akan digantikan dengan subsidi diesel secara langsung melalui penggunaan MyKad dan mereka akan dipindahkan secara automatik ke mekanisme baharu tanpa perlu mengemukakan permohonan tambahan.
Sebagai persediaan menjelang pelaksanaan penuh pada 1 Julai 2026, akses awal BUDI Diesel akan dibuka mulai 27 Jun 2026 kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.
Di bawah mekanisme tersebut, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan yang boleh digunakan secara fleksibel untuk pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi mengikut keperluan masing-masing.
Bagi pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak, tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan boleh dipohon menjadikan jumlah kelayakan keseluruhan hingga 300 liter sebulan. Kemudahan tersebut disediakan bagi memenuhi keperluan pengguna yang memerlukan penggunaan diesel yang lebih tinggi, khususnya dalam kalangan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan penduduk kawasan pedalaman.
Selain pemilik kenderaan diesel persendirian, kemudahan membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter turut diperluas kepada golongan tertentu seperti pengusaha bot sungai dan pemilik generator di kawasan pedalaman.
Kerajaan Persekutuan juga bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan liputan subsidi diesel dapat diberikan secara menyeluruh kepada rakyat yang layak.
Dalam pada itu, kerajaan mengekalkan subsidi diesel bagi sektor strategik dan kritikal. Antara yang terus menerima manfaat tersebut termasuklah nelayan yang menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter, petani kecil dan pemegang tanah komoditi berdaftar menerusi BUDI Agri-Komoditi, serta sektor pengangkutan awam darat melalui SKDS 1.0 pada harga RM1.88 seliter yang meliputi bas sekolah dan bas ekspres.
Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel secara rapi dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan peralihan kepada sistem baharu berjalan lancar, teratur dan tidak menjejaskan akses rakyat yang layak kepada subsidi diesel.
Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan mereka melalui portal rasmi BUDI MADANI bermula 22 Jun 2026, manakala permohonan tambahan kuota bagi pemilik pikap dan jip juga boleh dibuat secara dalam talian atau di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC).