Diterbitkan pada 20 Jun 2026, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ashgabat – Malaysia dan Turkmenistan memperkukuh hubungan dua hala menerusi pemeteraian enam dokumen kerjasama strategik yang merangkumi bidang sains dan teknologi, penerbangan, pendidikan, diplomasi, serta pembangunan ekonomi.

Pertukaran dokumen tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara Asia Tengah itu.

Antara dokumen yang dimeterai termasuklah memorandum persefahaman (MoU) antara Akademi Sains Malaysia dengan Akademi Sains Turkmenistan, MoU antara pihak berkuasa penerbangan kedua-dua negara, MoU mengenai latihan diplomat antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Turkmenistan, serta Perjanjian Perkhidmatan Udara yang dijangka membuka ruang kepada pengukuhan hubungan pengangkutan dan kesalinghubungan serantau.

Yang turut diumumkan ialah MoU antara Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dengan institusi pengajian tinggi di Turkmenistan, selain Kenyataan Bersama Malaysia–Turkmenistan yang menggariskan komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

Dalam sidang media bersama selepas majlis tersebut, kedua-dua pemimpin menegaskan iltizam untuk memastikan setiap perjanjian dan kerjasama yang dipersetujui dilaksanakan secara berkesan, telus dan berimpak tinggi demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Pemeteraian dokumen berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan Malaysia–Turkmenistan yang telah lama terjalin, khususnya dalam sektor tenaga. Hubungan tersebut diperkukuh lagi melalui kehadiran Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang telah beroperasi di Turkmenistan selama tiga dekad dan menjadi antara pelabur asing utama dalam industri minyak dan gas negara itu.

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkmenistan turut memberikan tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama ekonomi ke bidang baharu seperti pendidikan tinggi, penyelidikan, pembangunan modal insan, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu. Pendekatan tersebut selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh daya saing dalam ekonomi global yang semakin berteraskan teknologi.

Lawatan Perdana Menteri ke Ashgabat merupakan sebahagian daripada siri lawatan rasmi beliau ke rantau Eurasia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Persekutuan Rusia.

Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia dengan rakan antarabangsa dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan dan pembangunan teknologi.

Kedua-dua negara turut menyatakan harapan agar hubungan persahabatan yang terjalin terus diperkukuh berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan manfaat bersama demi kemakmuran jangka panjang Malaysia dan Turkmenistan.

Kredit Foto: Facebook YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi