Diterbitkan pada 23 Jun 2026, 08:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan MADANI mengesahkan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) di seluruh negara mulai 1 Julai 2026 sebagai sebahagian daripada pembaharuan penyasaran subsidi diesel.

Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan tersebut melibatkan penyeragaman harga runcit diesel, harga bersubsidi, serta mekanisme subsidi di seluruh negara.

Menurut beliau, mulai tarikh tersebut, harga runcit diesel akan ditetapkan pada paras tanpa subsidi, manakala rakyat yang menggunakan kenderaan diesel akan menikmati harga bersubsidi sebanyak RM2.10 seliter menerusi penggunaan MyKad di bawah mekanisme BUDI Diesel.

“Seramai 700 000 pemilik kenderaan diesel persendirian dijangka menikmati manfaat diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di semua stesen minyak di Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan prinsip penyasaran subsidi kerajaan yang memastikan hanya warganegara menikmati subsidi, di samping mengurangkan ketirisan, penyalahgunaan dan aktiviti penyeludupan.

Selain itu, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut diperluas ke Sabah dan Sarawak bagi membolehkan kira-kira 70 000 kenderaan komersial yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter menerusi penggunaan kad armada syarikat minyak.

Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak kelayakan dan had bulanan melalui portal rasmi BUDI MADANI mulai 22 Jun 2026, manakala pemilik kenderaan pikap dan jip yang layak boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan melalui portal yang sama atau di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat media yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YBhg. Datuk Armizan Mohd Ali.

Kredit Foto: Facebook Menteri KPDN)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi