Diterbitkan pada 10 Jun 2026, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Geneva – Malaysia terus komited memperkukuh pasaran tenaga buruh yang mampan, adil dan inklusif selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan landskap pekerjaan global bagi memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pembangunan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) perlu berteraskan nilai keadilan sosial, ihsan dan kesejahteraan agar kemajuan yang dicapai dapat memberikan manfaat secara saksama kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan negara sempena Persidangan Buruh Antarabangsa Ke-114 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang berlangsung di Switzerland selaras dengan tema Laporan Ketua Pengarah ILO 2026, A Moment of Choice: Harnessing Artificial Intelligence for Decent Work.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh pasaran tenaga buruh negara, termasuk menerusi platform MYFutureJobs yang merekodkan sebanyak 1.49 juta penempatan pekerjaan dan menghubungkan lebih daripada 3.3 juta pencari kerja dengan 13.4 juta peluang pekerjaan melalui padanan kerja berasaskan teknologi.

Selain itu, hampir 10 juta pekerja kini dilindungi menerusi Skim LINDUNG 24 JAM di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), manakala lebih daripada 270 000 pengguna telah memanfaatkan sistem penilaian risiko digital bagi meningkatkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia terus mempergiat usaha pembangunan bakat masa hadapan menerusi pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dalam bidang AI, keselamatan siber dan teknologi digital bagi memastikan tenaga kerja negara kekal berdaya saing.

Katanya, langkah tersebut penting untuk memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus transformasi digital yang semakin pesat dan kompleks.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa masa depan dunia pekerjaan tidak seharusnya ditentukan oleh teknologi semata-mata, sebaliknya perlu dibentuk melalui dasar yang mampan, adil dan inklusif demi menjamin kesejahteraan pekerja dan kemakmuran negara secara menyeluruh.

Sepanjang penyertaannya di Geneva, YB Dato’ Seri Ramanan turut mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Persidangan Buruh Antarabangsa Ke-114, serta menghadiri beberapa pertemuan rasmi dengan wakil kesatuan pekerja antarabangsa dan delegasi berkaitan dengannya bagi memperkukuh kerjasama dan bertukar pandangan mengenai isu semasa dunia pekerjaan.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Sumber Manusia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi