Diterbitkan pada 5 Jun 2026, 15:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

George Town – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperkukuh pembangunan industri kopi tempatan menerusi pembukaan cawangan baharu Kopiesatu di Trend Mart & Cafe, KOMTAR, Pulau Pinang.

Pembukaan cawangan tersebut memperluas akses pasaran bagi produk kopi tempatan dan memperkasakan usahawan dalam sektor agromakanan.

Majlis perasmian cawangan tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow bersama-sama EXCO Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, serta Keusahawanan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Haji Rashidi Zinol dan Ketua Pengarah FAMA, YBrs. Encik Abdul Rashid Bahri.

Menurut FAMA, pembukaan cawangan baharu ini mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam memperluas saluran pemasaran produk agromakanan tempatan, memperkukuh jenama kopi tempatan dan menyediakan lebih banyak peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2001, Kopiesatu telah berkembang sebagai jenama kopi tempatan yang memberikan nilai tambah kepada rantaian industri kopi negara. Sehingga kini, sebanyak 28 cawangan Kopiesatu telah beroperasi di seluruh negara melalui pengurusan FAMA dan usahawan pelesenan.

FAMA memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memperluas rangkaian Kopiesatu di lokasi strategik di seluruh negara bagi meningkatkan kebolehlihatan produk tempatan, memperkukuh ekosistem pemasaran agromakanan dan menyokong pembangunan usahawan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Dalam program yang sama, delegasi turut meninjau pelaksanaan intervensi sayur-sayuran tempatan dan mengedarkan buah-buahan dan sayur-sayuran kepada orang ramai sebagai sebahagian daripada Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan.

Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengutamakan hasil pertanian tempatan, di samping menyokong pengeluaran domestik.

Kredit Foto: Facebook FAMA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi