Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menegaskan bahawa Malaysia kini berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai destinasi selamat pelaburan global menerusi kerangka reformasi ekonomi yang mampan.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan syarahan bertajuk “Malaysia: Raising Capital into Capability” dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 12 bertemakan “Memacu Kedudukan Malaysia dalam Gelombang Baharu Aliran Modal Global” anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi melalui kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia malam Jumaat lalu.
Menurut beliau, dua persoalan utama sedang menentukan kedudukan Malaysia dalam kitaran ekonomi global semasa, iaitu sama ada negara mampu menjadi “safe haven” atau destinasi selamat pelaburan ketika ketidaktentuan dunia, serta keupayaan negara menunggang gelombang baharu aliran modal global.
“Status destinasi selamat pelaburan pada hari ini bukan sekadar dilihat stabil dalam dunia yang tidak menentu, tetapi sama ada Malaysia mampu menyediakan keyakinan, kejelasan operasi dan kedalaman keupayaan yang membolehkan modal dibina dari sini,” katanya.
Beliau menjelaskan sejarah Asia membuktikan aliran modal global bergerak mengikut gelombang tertentu, antaranya termasuklah kebangkitan Singapura pada tahun 1960, limpahan industri Jepun ke Malaysia dan Thailand selepas Plaza Accord pada tahun 1980, ledakan komoditi Indonesia pada tahun 2010 serta manfaat strategi “China Plus One” yang dinikmati Vietnam.
Namun begitu, katanya, gelombang baharu kini jauh lebih kompleks kerana pelabur bukan sahaja menilai pulangan keuntungan, malah mengambil kira keadaan geopolitik, keselamatan tenaga, kebolehpercayaan rantaian bekalan, kepercayaan regulatori, bakat serta konsistensi dasar kerajaan ketika menentukan pembahagian pelaburan.
Dalam pembentangannya, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah, turut memperkenalkan kerangka “RAISE” yang menjadi asas pendekatan Ekonomi MADANI dalam memperkukuh ekonomi negara.
Beliau berkata bahawa, komponen pertama ialah Reforming Foundations atau reformasi asas bagi membina kepercayaan pelabur melalui disiplin fiskal dan tadbir urus yang lebih baik.
Katanya, kerajaan telah melaksanakan Akta Tanggungjawab Fiskal, reformasi produktiviti perkhidmatan awam serta Akta Perolehan Kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan keyakinan pasaran.
“Hasilnya, defisit fiskal turun daripada 5.6 peratus kepada 3.7 peratus, inflasi kekal terkawal sekitar 1.9 peratus dan daya saing negara meningkat daripada kedudukan ke-34 kepada ke-23,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pelaburan diluluskan negara mencecah rekod sebanyak RM329.5 bilion pada tahun 2023, tertinggi dalam sejarah Malaysia, dengan pelaburan domestik berjumlah RM219.6 bilion berbanding RM107 bilion pelaburan asing.
Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan keyakinan pelabur tempatan bergerak seiring dengan keyakinan pelabur luar terhadap ekonomi negara.
Komponen kedua, Activate Capital, memberikan fokus kepada penggemblengan modal domestik bersama pelaburan asing melalui inisiatif seperti GEAR-uP melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan dengan kerajaan (GLIC).
Beliau berkata, GEAR-uP komited menyediakan sebanyak RM120 bilion dalam tempoh lima tahun bagi menggerakkan sektor strategik ekonomi negara.
“Pasaran kita mempunyai kecairan (liquidity) yang tinggi. Apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita mengagihkan kecairan itu ke sektor yang betul supaya ekonomi dapat dipacu secara lebih agresif,” katanya.
Beliau berkata kerajaan turut memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak tercicir melalui skim jaminan SJPP, pembiayaan mikro serta skim kredit perumahan.
Dalam aspek Improve Investability, beliau berkata bahawa kerajaan kini memberikan penekanan kepada syarikat berkualiti tinggi, sektor teknologi dan ekonomi digital untuk meningkatkan daya tarikan Bursa Malaysia.
Katanya, kejayaan penyenaraian syarikat teknologi seperti Cape EMS dan peningkatan saham Oppstar selepas memperoleh token ARM membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi teknologi tempatan.
“Malaysia tidak lagi mahu bersaing melalui buruh murah, tanah murah atau insentif cukai semata-mata. Kita mahu bersaing melalui keupayaan, kepakaran dan integrasi rantaian bekalan global,” katanya.
Beliau berkata bahawa kerajaan juga sedang memperkukuh keupayaan (Strengthening Capability) negara melalui strategi pembangunan sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menurutnya, pelaburan Intel bernilai AS$7 bilion yang membawa teknologi advanced packaging ke Malaysia membuktikan keyakinan syarikat global terhadap keupayaan negara.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah berkata bahawa Malaysia kini menguasai kira-kira 13 peratus industri semikonduktor global dan kerajaan mahu memperdalam lagi rantaian nilai industri tersebut supaya negara menjadi semakin sukar diganti dalam ekosistem global.
Beliau menegaskan usaha meningkatkan skala ekonomi (Enable Scale) dan keupayaan industri tempatan amat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi memberikan manfaat menyeluruh kepada rakyat serta mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah.