Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeri Kembangan – Penganjuran Festival Makanan Halal Malaysia–Thailand (MATHAF) berjaya menjana pendapatan terkumpul sebanyak RM78 juta sejak mula diperkenalkan pada tahun 2016. Pencapaian ini membuktikan potensi besar industri makanan dan minuman (F&B) berkonsepkan karnival jelajah dalam memangkin kelangsungan ekonomi usahawan tempatan.
Dianjurkan oleh Project Malaya, sebuah syarikat pengurusan acara tempatan, MATHAF berfungsi sebagai platform perniagaan penting yang berjaya menghimpunkan lebih daripada 50 vendor. Karnival ini menawarkan pelbagai hidangan tular dan masakan halal dari Malaysia, serta Thailand pada harga yang kompetitif, bersesuaian dengan senario ekonomi semasa yang menuntut perbelanjaan berhemah pengguna.
Bagi kalendar tahun 2026, MATHAF terus merancakkan aktiviti ekonomi komersial menerusi siri penjelajahannya. Selepas melabuhkan tirai di lima lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak bulan Mei lalu, lokasi keenam festival ini berpusat di Giant Seri Kembangan bermula 17 hingga 26 Julai 2026.
Selain menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), MATHAF turut membuka dimensi baharu keusahawanan dalam kalangan penggiat seni tanah air. Pelibatan barisan selebriti terkenal seperti Dilla Ahmad, Taiyuddin Bakar, Azadan Rabbani dan Idlan Raja Lawak yang membuka reruai jualan membuktikan platform ini signifikan sebagai serampang dua mata untuk mempelbagaikan sumber pendapatan mereka.
Walaupun rekod keuntungan bagi separuh tahun pertama 2026 masih belum didedahkan oleh pihak penganjur, penganjuran berterusan festival ini memberikan isyarat positif terhadap daya tahan sektor peruncitan makanan.
Orang ramai boleh menyokong ekosistem keusahawanan tempatan ini dengan mengunjungi MATHAF atau melayari platform Instagram dan TikTok rasmi mereka untuk rujukan lokasi seterusnya.