Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Industri francais negara terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi apabila Seminar dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2026 menyasarkan nilai transaksi perniagaan melebihi RM600 juta sepanjang penganjurannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 21 hingga 23 Mei 2026.
Majlis pembukaan FIM 2026 disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Penganjuran edisi ke-33 itu dijangka menarik lebih daripada 25,000 orang pengunjung dan menghimpunkan lebih daripada 100 jenama francais tempatan, serta antarabangsa meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global semasa.
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, penyertaan jenama antarabangsa meningkat sebanyak 10 peratus berbanding dengan tahun lalu, melibatkan syarikat dari Sepanyol, Taiwan, Indonesia, Jepun dan China.
Menurut beliau, perkembangan tersebut memperlihatkan keyakinan pelabur asing terhadap ekosistem francais negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab peluasan perniagaan dan pelaburan francais serantau.
“Perkembangan positif ini mencerminkan aspirasi bersama untuk meletakkan Malaysia sebagai pintu gerbang utama bagi peluasan francais, pelaburan dan kolaborasi perniagaan merentas sempadan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis berkenaan.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan, MFA turut mempergiat kerjasama strategik dengan Universiti Kuala Lumpur menerusi pembangunan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus untuk industri francais.
Antara syarikat yang telah melaksanakan program berkaitan TVET dalam operasi mereka termasuk 7-Eleven, McDonald’s dan Marrybrown.
Selain itu, program Perniagaan Francais Universiti ASEAN yang bakal dilaksanakan bersama persatuan francais dari Filipina, Indonesia dan Vietnam dijangka membuka ruang lebih luas kepada pembangunan bakat usahawan muda, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju pendidikan francais di rantau ASEAN.
FIM 2026 turut menyaksikan penyampaian sijil kepada kumpulan graduan pertama program Certified Franchise Executives (CFE) di Malaysia. Program pengiktirafan profesional antarabangsa itu dibawakan oleh International Franchise Association dengan kerjasama Persatuan Francais Filipina.
Sementara itu, Radzali menegaskan bahawa MFA akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pemain industri bagi memperkukuh daya saing sektor francais, memperluas akses pasaran global, serta meningkatkan peluang pertumbuhan usahawan dan jenama tempatan pada peringkat antarabangsa.
Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KPDN, YBhg. Dato’ Seri Mohd. Sayuthi Bakar, serta pegawai kanan kementerian.