Diterbitkan pada 20 Mei 2026, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Inflasi negara meningkat kepada 1.9 peratus pada April 2026 berbanding dengan 1.7 peratus pada bulan Mac lalu, namun kadar tersebut masih berada pada tahap sederhana dan terkawal berbanding dengan beberapa negara serantau, serta ekonomi utama dunia.

Menteri Ekonomi, YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keadaan itu mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia yang kekal stabil meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Krisis Global susulan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 11 Tahun 2026, semalam.

Menurut beliau, kadar inflasi Malaysia masih lebih rendah berbanding dengan Filipina (7.2 peratus), Vietnam (5.5 peratus), Korea Selatan (2.6 peratus) dan Indonesia (2.4 peratus), sekali gus menunjukkan kedudukan ekonomi negara yang lebih baik pada peringkat serantau.

Katanya, peningkatan inflasi domestik banyak dipengaruhi oleh kenaikan kos pengangkutan yang meningkat daripada 1.6 peratus pada bulan Mac kepada 4.1 peratus pada April 2026.

“Kenaikan ini didorong oleh peningkatan harga bahan api, termasuk purata harga diesel di Semenanjung Malaysia yang meningkat kepada RM5.92 seliter berbanding dengan RM4.12 seliter pada bulan Mac lalu, selain harga RON97 yang naik kepada RM5.06 seliter berbanding dengan RM4.03 sebelum ini,” katanya.

Selain itu, kumpulan maklumat dan komunikasi turut meningkat kepada dua peratus berbanding dengan 1.4 peratus pada bulan sebelumnya berikutan kenaikan yuran langganan televisyen prabayar dan bil pascabayar telefon bimbit.

Bagaimanapun, kumpulan utama seperti makanan dan minuman, serta perumahan masih terkawal tanpa peningkatan ketara, sekali gus menunjukkan tekanan inflasi belum merebak secara menyeluruh kepada perbelanjaan isi rumah.

Dalam perkembangan berkaitan dengannya, purata harga bahan makanan terpilih yang dipantau bagi tempoh 11 hingga 17 Mei 2026 mencatatkan pergerakan antara negatif 3.8 peratus hingga 4.7 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya.

Menurut beliau, keadaan itu membuktikan keberkesanan langkah pemantauan dan intervensi kerajaan dalam memastikan kestabilan bekalan, serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Sehubungan dengan itu, kerajaan memperkenalkan papan pemuka pemantauan krisis bekalan global yang boleh diakses orang awam menerusi laman sesawang Kementerian Ekonomi sejak 15 Mei lalu.

Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api global, kerajaan akan meneruskan bantuan tunai melalui program BUDI MADANI kepada pemilik kenderaan logistik individu dan peniaga kecil sebanyak RM300 sebulan, selain bantuan interim RM100 kepada penerima yang layak.

Kerajaan turut menyediakan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM300 sehektar bagi membantu menampung kos operasi pertanian dan memperkukuh rantaian bekalan makanan negara.

Pada masa sama, inisiatif Jualan Rahmah diperluas ke kawasan desa dan kampung terpilih bagi membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lima hingga 30 peratus lebih rendah berbanding dengan harga pasaran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi