Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkukuh agenda integriti dan tadbir urus kewangan menerusi penganjuran Persidangan Pegawai Kewangan KESUMA Tahun 2026 yang berlangsung dari 17 hingga 19 Mei 2026.
Bertemakan “Perakaunan Berteraskan Integriti: Memacu Transformasi KESUMA”, persidangan tersebut menjadi platform untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan, serta memperkasakan akauntabiliti dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Persidangan itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, YBrs. Encik Sutekno Ahmad Belon pada 18 Mei 2026.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa integriti merupakan teras utama dalam memastikan pengurusan kewangan kementerian dilaksanakan secara telus, cekap dan berakauntabiliti.
Menurut beliau, pegawai kewangan berperanan sebagai “penjaga amanah awam” dalam memastikan setiap perbelanjaan kerajaan memberikan manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam aspek kebajikan pekerja, pembangunan modal insan, latihan kemahiran dan keharmonian industri negara.
Beliau turut mengingatkan bahawa ketirisan dan penyelewengan kewangan bukan sahaja menjejaskan organisasi, malah boleh memberikan kesan langsung terhadap keberkesanan bantuan dan sokongan kerajaan kepada rakyat.
Selain itu, persidangan berkenaan turut memberikan penekanan terhadap pemantapan pengurusan kewangan, tadbir urus, pelaporan perakaunan, serta amalan integriti bagi memperkukuh kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan KESUMA.