Diterbitkan pada 18 Mei 2026, 10:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menguatkuasakan keperluan Sijil Analisis (CoA) bagi import ikan siakap dari Thailand, serta melaksanakan sekatan sementara terhadap lima spesies udang dari negara itu berkuat kuasa 1 Jun 2026.

Lima spesies udang yang terlibat ialah Penaeus esculentes, Fenneropenaeus merguiensis, Penaeus vannamei, Penaeus monodon dan Penaeus stylirostris.

Sekatan ini akan berkuat kuasa sehingga pihak berkuasa Thailand mengemukakan maklum balas rasmi yang lengkap berhubung dengan siasatan yang dikemukakan oleh Malaysia, selain tertakluk pada penelitian lanjut pihak Malaysia terhadap maklum balas tersebut.

Menurut KPKM, langkah berkenaan dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara, khususnya untuk memastikan ikan siakap dan udang yang memasuki pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.

Pelaksanaan kawalan import ini akan dibuat secara bersepadu menerusi kerjasama Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (PKKM KKM); Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di semua pintu masuk negara.

KPKM turut menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan dengannya bagi memastikan pelaksanaan kawalan import ini berjalan lancar tanpa menjejaskan kestabilan bekalan ikan siakap dan udang dalam negara.

Kementerian kekal komited untuk memastikan tahap keselamatan, sekuriti dan kualiti makanan negara sentiasa terjamin demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi