Diterbitkan pada 13 Mei 2026, 12:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perubahan harga bahan makanan dalam pasaran tempatan mula menunjukkan peningkatan sederhana, sekali gus mencerminkan tekanan kos yang semakin dirasai pengguna.

Walaupun harga keseluruhan masih berada dalam julat terkawal, perkembangan tersebut memerlukan pemantauan rapi bagi mengelakkan kesan lebih besar terhadap kos sara hidup rakyat.

Menteri Ekonomi, YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, beberapa bahan makanan utama merekodkan perubahan harga dalam tempoh awal bulan Mei berdasarkan taklimat Krisis Bekalan Global yang disampaikan semalam.

Beliau berkata, dalam tempoh 4 hingga 6 Mei, harga makanan terpilih bergerak dalam julat penurunan dua peratus hingga peningkatan 6.7 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya.

Antara barangan yang mencatatkan kenaikan harga termasuklah ikan kembung, udang putih, sayur-sayuran seperti sawi, serta santan kelapa segar yang merekodkan peningkatan paling ketara.

“Harga ikan kembung meningkat 3.9 peratus daripada RM16.76 sekilogram kepada RM17.42 sekilogram, manakala harga udang putih meningkat 1.2 peratus kepada RM32.11 sekilogram.

“Harga sawi pula naik empat peratus daripada RM6.95 sekilogram kepada RM7.23 sekilogram, sementara santan kelapa segar meningkat 6.7 peratus kepada RM16.88 sekilogram,” katanya.

Namun begitu, terdapat beberapa bahan mentah yang mencatatkan penurunan harga, termasuk daging lembu, manakala harga ayam standard kekal stabil.

Menurut beliau, harga daging lembu menurun 1.4 peratus daripada RM36.40 sekilogram kepada RM35.88 sekilogram, sementara harga ayam standard sebahagian besarnya kekal tidak berubah pada sekitar RM9.50 hingga RM9.51 sekilogram.

Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan perubahan pasaran global, khususnya dalam sektor makanan yang sensitif terhadap turun naik harga input.

Dalam pada itu, kerajaan terus memperkukuh langkah intervensi bagi memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah terus terpelihara.

Penyelarasan antara kementerian dengan agensi berkaitan dengannya turut dipertingkat bagi memastikan bantuan, serta inisiatif yang dirangka dapat disalurkan secara berkesan kepada kumpulan sasar.

Pendekatan bersasar tersebut penting bagi mengawal tekanan kos sara hidup daripada meningkat secara mendadak, di samping memastikan kestabilan pasaran domestik terus terjamin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi