Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Program promosi awal sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 berjaya mendekatkan peladang, usahawan tani dan masyarakat setempat dengan aspirasi dan pengisian ekspo pertanian terbesar negara menjelang penganjurannya pada tahun ini.
Program Road to MAHA 2026 merupakan sebahagian daripada siri promosi awal bagi memperkenalkan MAHA 2026 yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bermula 28 Ogos 2026 hingga 6 September 2026.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negara (KPKM), penganjuran program ini dapat menjadi platform dalam memperluas kesedaran mengenai potensi sektor agromakanan negara.
Majlis pelancaran program berkenaan berlangsung di Aman Central, Alor Setar, Kedah dan disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu.
Konsep promosi awal ekspo tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana telah diperkenalkan dalam edisi terdahulu sebagai usaha memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan peladang dan usahawan tempatan di samping menyokong pembangunan sektor agromakanan negara.
Pelbagai pengisian telah diadakan sepanjang program berlangsung, termasuk jualan produk yang melibatkan sebanyak 18 usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerusi Jualan Agro MADANI (JAM). Hal ini memberikan peluang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk keluaran masing-masing secara lebih meluas kepada masyarakat.
Selain itu, majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian geran dan peruntukan di bawah KPKM melibatkan beberapa agensi di Zon Utara bagi tahun 2026. Antaranya termasuklah MADA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pertanian (DOA), Jabatan Perikanan (DOF), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Pada majlis yang sama, YB Menteri turut melancarkan trak promosi MAHA 2026 yang menjadi simbolik kepada gerakan promosi dan hebahan ke seluruh negara bagi memperluas capaian maklumat, serta meningkatkan keterlibatan orang ramai dalam pelbagai pengisian ekspo berkenaan.