Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar– Agrobank bersetuju menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus ke atas kadar keuntungan bagi pinjaman modal kepada pesawah sebagai persediaan memulakan tanaman padi bagi musim akan datang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap cabaran modal yang dihadapi golongan pesawah dalam memastikan kelangsungan pengeluaran sektor agromakanan negara.
“Pihak Agrobank menyediakan pakej pinjaman modal kepada pesawah dan bersetuju memberikan diskaun 50 peratus ke atas kadar keuntungan bagi pinjaman ini,” ujar beliau ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Road To Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 Peringkat Zon Utara.
Tambah beliau. kerajaan sentiasa mencari jalan untuk membantu menggerakkan penyediaan makanan, termasuk sayuran, ikan, daging dan sebagainya supaya sentiasa terjamin, selain membantu pesawah melalui cabaran ini demi memastikan kestabilan dan keupayaan bekalan makanan negara.
Beliau berkata, butiran lanjut mengenai inisiatif ini akan diumumkan oleh pihak Agrobank dalam masa terdekat.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, YM Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, diskaun 50 peratus tersebut menjadikan kadar keuntungan pinjaman berkurangan kepada dua peratus berbanding dengan empat peratus sebelum ini.
Menurut beliau, pakej pinjaman modal itu ditawarkan hingga RM50,000, namun kebanyakan pesawah lazimnya hanya mengambil antara RM7,000 hingga RM10,000 bagi mengusahakan kira-kira tiga hektar sawah padi.
“Bagi mengelakkan pesawah kekurangan modal untuk memulakan penanaman padi, mereka boleh mendapatkan pinjaman ini mengikut kelayakan dan membuat bayaran balik selepas musim menuai,” ujar beliau.
Majlis pelancaran tersebut berlangsung di Aman Central, Alor Setar, Kedah dan merupakan sebahagian daripada siri promosi awal menjelang penganjuran MAHA 2026 yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bermula 28 Ogos 2026 hingga 6 September 2026.