Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – CIMB Bank Berhad melancarkan Akaun Gaji CIMB dengan perlindungan takaful percuma menerusi program CIMB@Work bagi memperkukuh daya tahan kewangan golongan pekerja di Malaysia.
Akaun gaji itu menawarkan perlindungan takaful sehingga RM200,000 meliputi 36 penyakit kritikal, selain perlindungan kematian dan hilang upaya menyeluruh, serta kekal (TPD).
Untuk melayakkan diri, pemegang akaun perlu mengekalkan baki purata bulanan sekurang-kurangnya RM2,500 tanpa memerlukan saringan atau pengisytiharan kesihatan. Perlindungan takaful tersebut ditaja jamin oleh Sun Life Malaysia Takaful Berhad.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif sektor swasta seperti itu mampu membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyediakan jaringan keselamatan sosial yang lebih baik kepada pekerja.
Menurut beliau, PKS merupakan pemegang taruh penting ekonomi negara kerana sektor itu menggaji hampir separuh tenaga kerja di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan berkata, produk berkenaan memudahkan akses perlindungan kewangan melalui integrasi takaful secara langsung ke dalam akaun gaji pelanggan.
Selain perlindungan takaful, pengguna yang layak turut menikmati manfaat lain di bawah program CIMB@Work, termasuk kadar pembiayaan lebih rendah bagi pembiayaan peribadi, perumahan dan pembiayaan ASB terpilih.
CIMB turut menawarkan promosi perlindungan tambahan percuma bagi penyakit kritikal kepada pelanggan yang membuka Akaun Gaji CIMB dari Mei hingga Julai 2026, tertakluk pada syarat ditetapkan.