Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang diadakan pada hari ini.
Keputusan ini mencerminkan bahawa kadar faedah semasa masih sesuai untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan tanpa mencetuskan tekanan inflasi yang berlebihan.
Menurut BNM , pertumbuhan global kekal berdaya tahan pada suku pertama tahun 2026, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh dan perkembangan berterusan dalam sektor teknologi global.
Namun begitu, kenaikan mendadak harga tenaga dan komoditi susulan konflik di Timur Tengah mula memberikan tekanan kepada momentum pertumbuhan ekonomi dunia.
Tambah BNM, pada paras OPR semasa, MPC berpandangan bahawa pendirian dasar monetari adalah sesuai dan konsisten dengan prospek kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Pada peringkat domestik, petunjuk terkini menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi yang berterusan pada suku pertama tahun ini, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mantap dan prestasi eksport yang kuat.
BNM turut menjelaskan bahawa eksport elektrik dan elektronik (E&E) dijangka terus menjadi pemacu utama sektor luar negeri, manakala perbelanjaan pelancong dijangka kekal stabil walaupun berkembang pada kadar yang lebih sederhana.
Dari sudut inflasi, BNM menjangkakan kadar inflasi akan meningkat sedikit berikutan kenaikan harga komoditi global. Walau bagaimanapun, kesannya terhadap inflasi sepanjang tahun 2026 dijangka masih terkawal hasil langkah dasar domestik dan keadaan permintaan yang stabil.
BNM menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai keseimbangan risiko terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi dalam negeri.