Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebanyak 4.10 peratus kepada pendeposit bagi tahun 2025.
Pemberian ini akan memberikan manfaat kepada 6.07 juta akaun melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM505.68 juta.
Menurut PTPTN, pemberian dividen tersebut menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen Simpan SSPN sejak diperkenalkan pada tahun 2004 meningkat kepada RM2.63 bilion.
Agihan dividen ini akan dimasukkan terus dalam akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai 7 Mei 2026.
PTPTN memaklumkan bahawa kadar dividen 4.10 peratus bagi tahun 2025 adalah lebih tinggi berbanding dengan 4.05 peratus yang diagihkan pada tahun 2024 dan yang tertinggi dalam tempoh 11 tahun terakhir.
Peningkatan kadar dividen ini mencerminkan kecekapan PTPTN di bawah kepimpinan Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim bersama-sama Ahli Lembaga Pengurusan dan pihak pengurusan dalam mengurus dana simpanan secara efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum kepada pelanggan.
PTPTN turut menjelaskan bahawa pencapaian ini mendapat sokongan penuh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir sebagai tanda keyakinan terhadap prestasi pengurusan dana yang mampan dan berdaya saing.
Tambah PTPTN, peningkatan ini turut disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah berjangka masa pendek dan masa panjang dalam pasaran wang dan sukuk tempatan yang memelihara prinsipal, di samping menawarkan pulangan yang kompetitif.
Strategi pengurusan risiko yang berkesan dan pemilihan portfolio pelaburan yang strategik dalam simpanan tetap jangka masa panjang dan sukuk turut berjaya meningkatkan pulangan pelaburan.
Menurut PTPTN, kadar dividen 4.10 peratus ini juga menunjukkan pulangan bersih pelaburan yang positif berbanding dengan kadar dasar semalaman (OPR) yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang kekal pada kadar 2.75 peratus sepanjang tahun 2025.
Sepanjang tahun 2025, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM3.33 bilion, meningkat RM154.10 juta atau 4.86 peratus berbanding RM3.17 bilion pada tahun 2024.
Selain itu, lebih daripada 500 ribu pembukaan akaun baharu direkodkan pada tahun lalu menjadikan keseluruhan deposit yang diterima sehingga 31 Disember 2025 berjumlah RM23.88 bilion.
PTPTN menyifatkan prestasi ini sebagai pencapaian yang membanggakan dan membuktikan sokongan pendeposit Simpan SSPN terus kukuh.
Simpan SSPN juga kekal sebagai produk terbaik untuk masyarakat Malaysia membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.
Selain menawarkan kadar dividen yang kompetitif, Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang memberikan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun.
Pendeposit turut menikmati perlindungan takaful percuma, Geran Sepadan percuma hingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, selain simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.
Sempena Belanjawan 2025, kerajaan turut bersetuju memperluas kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 hingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI).
Melalui inisiatif itu, pendeposit yang layak kini boleh memohon geran sepadan hingga RM5,000 bagi satu keluarga.
Pengagihan dividen Simpan SSPN tahun 2025 diumumkan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim di Menara PTPTN .
Yang turut hadir ialah Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, barisan pengurusan PTPTN dan rakan strategik.
Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN atau aplikasi myPTPTN.