Diterbitkan pada 6 Mei 2026, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia terus menjadi pilihan pelabur asing apabila syarikat pembekal peralatan semikonduktor dari Jerman, AIXTRON SE menandatangani perjanjian dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi membina kemudahan pengeluaran baharu di Pulau Pinang.

Perjanjian tersebut dimeterai sempena acara SEMICON Asia Tenggara 2026 dan disifatkan sebagai antara pelaburan penting dalam sektor teknologi tinggi negara.

Kemudahan baharu yang akan dibina di Taman Teknologi Bandar Cassia itu merangkumi bangunan pejabat tiga tingkat, bilik bersih bertaraf tinggi, serta kawasan logistik khusus bagi menyokong pengeluaran peralatan semikonduktor generasi baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif AIXTRON SE, Dr. Felix Grawert berkata, pelaburan tersebut akan memperkukuh fleksibiliti operasi syarikat selain menyokong pengembangan teknologi semikonduktor maju.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, YBhg. Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, keputusan AIXTRON memilih Malaysia membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekosistem semikonduktor negara.

Menurut beliau, pelaburan itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berteknologi tinggi, serta memperkukuh pelibatan vendor tempatan dalam rantaian bekalan global.

Kilang berkenaan turut direka secara modular bagi membolehkan kapasiti pengeluaran ditingkatkan secara berperingkat mengikut permintaan pasaran, khususnya bagi aplikasi elektronik kuasa, telekomunikasi canggih dan sistem pengkomputeran masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi