Diterbitkan pada 6 Mei 2026, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dengan kerjasama strategik Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) terus memperkukuh komitmen dalam memperkasakan ekosistem percukaian negara menerusi penganjuran HASiL–CTIM Tax Forum 2026.

Bertemakan Navigating Compliance and Managing Related Risks, forum sehari yang berlangsung secara hibrid dan bersemuka di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur, serta dalam talian melalui aplikasi Zoom berjaya menghimpunkan lebih daripada 800 orang peserta. Mereka terdiri daripada pengamal percukaian, wakil agensi, syarikat korporat dan individu yang terlibat secara langsung dalam pengurusan percukaian.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dan turut dihadiri Presiden CTIM, YBrs. Encik Soh Lian Seng, barisan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, serta pengurusan kanan kedua-dua organisasi.

Presiden CTIM, Encik Soh Lian Seng berkata, forum tersebut mencerminkan komitmen berterusan antara CTIM dan HASiL dalam mewujudkan ekosistem percukaian yang lebih telus, progresif dan responsif terhadap perubahan ekonomi semasa.

Menurut beliau, penganjuran forum seumpama ini membuka ruang dialog konstruktif antara pihak berkuasa dan pemain industri, di samping meningkatkan kefahaman, serta kesiapsiagaan pembayar cukai terhadap perubahan dasar dan keperluan pematuhan.

Sementara itu, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin menegaskan bahawa forum berkenaan mencerminkan usaha berterusan HASiL dalam memastikan pembayar cukai sentiasa bersedia menghadapi perubahan persekitaran percukaian, khususnya dalam era transformasi digital.

Beliau turut menekankan komitmen HASiL untuk memperkukuh budaya pematuhan sukarela melalui pendekatan pendidikan, libat urus strategik dan perkongsian ilmu yang menyeluruh.

Forum dimulakan dengan sesi dialog khas yang membincangkan topik Pematuhan Cukai dalam Era Digitaldengan penekanan terhadap pengurusan risiko yang berkesan, serta jangkaan pihak berkuasa dalam menghadapi perkembangan teknologi.

Antara fokus utama forum termasuklah meningkatkan kefahaman pembayar cukai berkaitan degan proses audit pascapelaksanaan e-Invois, memperkukuh strategi pengurusan audit, pertikaian dan rayuan cukai secara lebih telus, serta meningkatkan tahap kesediaan terhadap pelaksanaan Sistem Taksiran Sendiri Duti Setem.

Penganjuran forum ini dijangka terus menjadi platform strategik dalam memperkukuh kerjasama antara HASiL, pengamal industri dan pembayar cukai, sekali gus menyokong pembentukan sistem percukaian negara yang lebih mampan, dinamik dan berdaya saing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi