Diterbitkan pada 4 Mei 2026, 14:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar — Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah bahawa Perlis mampu muncul sebagai “Dubai Kedua” dengan menjadi pintu gerbang ke Asia Tenggara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, baginda yakin negeri itu berpotensi berkembang sebagai pusat dagang, inovasi dan pertemuan ekonomi serantau, berasaskan kedudukan strategiknya di utara Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan Thailand.

“Didukung oleh iltizam kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan kekuatan gerakan koperasi, beta yakin dan percaya Perlis mampu berkembang sebagai pusat dagang, pusat inovasi dan pusat pertemuan ekonomi serantau,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa berkenan merasmikan Nat Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 di Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sini, malam tadi.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteri kedua baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama ialah Menteri Besar Perlis, YAB Abu Bakar Hamzah dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), YBhg. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah penganjuran nat itu bukan sekadar platform wacana dan pertukaran idea, bahkan menampilkan dimensi lebih meluas yang menghimpunkan penyertaan dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan China.

Raja Perlis bertitah program itu turut berjaya menarik perhatian, serta penyertaan antarabangsa, sekali gus mengangkat Perlis sebagai medan jaringan ekonomi koperasi serantau yang semakin diyakini dan dihormati negara lain.

“Ini satu pengiktirafan besar terhadap potensi negeri ini, dan beta amat menghargainya,” titah baginda.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi