Diterbitkan pada 29 April 2026, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengingatkan pembayar cukai bahawa tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata (BN) bagi Tahun Taksiran 2025 untuk individu, serta entiti selain individu, iaitu pertubuhan, harta pusaka dan keluarga sekutu Hindu yang tidak menjalankan perniagaan ialah pada 30 April 2026.

Selaras dengan pelaksanaan mandatori pengemukaan BN secara e-Filing, pembayar cukai diberikan lanjutan tempoh selama 15 hari, iaitu sehingga 15 Mei 2026 untuk mengemukakan BN dengan tepat dan lengkap. Perkhidmatan e-Filing boleh diakses melalui portal rasmi HASiL di https://www.hasil.gov.my atau terus di https://mytax.hasil.gov.my.

Pembayar cukai disarankan agar memanfaatkan tempoh lanjutan ini dengan mengemukakan BN lebih awal bagi memastikan kelancaran proses, serta mengelakkan kesesakan capaian sistem menjelang tarikh akhir.

Sehubungan dengan itu, HASiL menegaskan bahawa pematuhan terhadap tarikh akhir yang ditetapkan amat penting bagi mengelakkan tindakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, termasuk pengenaan penalti atas kelewatan atau kegagalan mengemukakan BN.

Sebagai panduan, pembayar cukai disarankan merujuk nota penerangan BN yang berkaitan dengannya sekiranya terdapat kekeliruan atau memerlukan penjelasan lanjut sebelum membuat pengemukaan.

Selain itu, pembayar cukai digalakkan membuat semakan awal terhadap semua dokumen dan maklumat percukaian, termasuk penyata pendapatan, resit serta rekod berkaitan dengannya. Pengisian dan pelaporan cukai hendaklah dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan BN dikemukakan secara tepat, lengkap dan teratur.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi