Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya — Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang mampan pada tahun 2026 meskipun berdepan dengan ketidaktentuan global susulan konflik geopolitik, serta gangguan bekalan tenaga dunia.
Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, unjuran semasa menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan yang baik, disokong oleh prestasi kukuh tahun sebelumnya, serta perkembangan positif pada suku pertama tahun ini.
Menurut beliau, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2025 mencatatkan kadar 5.2 peratus, manakala unjuran bagi suku pertama 2026 ialah sekitar 5.3 peratus berdasarkan data terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Prestasi ini dipacu oleh beberapa sektor utama termasuk pembuatan yang berkembang 5.8 peratus, perkhidmatan 5.4 peratus dan pertanian 2.8 peratus,” katanya dalam Majlis Himpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pagi tadi.
Pada peringkat global, beliau memaklumkan bahawa Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia sekitar 3.1 peratus, manakala Bank Dunia pula menyasarkan antara 2.4 hingga 2.7 peratus. Pertumbuhan ekonomi Asia pula dijangka sederhana pada kadar 4.4 peratus susulan ketegangan di Asia Barat.
Mengulas mengenai inflasi, beliau berkata kadar inflasi negara kekal terkawal pada 1.7 peratus bagi bulan Mac 2026 berbanding dengan 1.4 peratus pada bulan Februari, namun kerajaan tetap berwaspada terhadap kemungkinan peningkatan akibat faktor luaran.
“Kita perlu melihat realiti bahawa tekanan inflasi boleh meningkat sekiranya konflik geopolitik berterusan, khususnya melibatkan bekalan tenaga,” ujarnya.
Pada masa sama, kadar pengangguran negara kekal stabil pada 2.9 peratus, manakala eksport meningkat 10.8 peratus kepada RM131 bilion setakat bulan Februari tahun ini.
Beliau turut menekankan bahawa konflik di Asia Barat, termasuk sekatan di Selat Hormuz memberikan kesan besar kepada bekalan minyak dan gas global dengan pengurangan sehingga 20 peratus.
“Gangguan ini bukan sahaja menjejaskan harga tenaga, malah turut meningkatkan kos insurans dan pengangkutan, serta menjejaskan bekalan bahan mentah seperti resin,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Ekonomi memperkukuh pemantauan melalui pembangunan Papan Pemuka Indikator Ekonomi yang kini menjejaki 107 indikator, termasuk 61 indikator berfrekuensi tinggi bagi membolehkan intervensi awal dilakukan.
Selain itu, kerajaan terus memperkasakan penggunaan Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai platform bersepadu yang mengandungi 30.7 juta profil individu.
“PADU berfungsi sebagai bahagian belakang (backend) kepada kerajaan dengan tumpuan kepada analitik data bagi membantu perancangan dasar dan penyaluran bantuan secara lebih bersasar,” jelas beliau.
Sehingga kini, sebanyak 27 permohonan penggunaan PADU telah diterima daripada pelbagai kementerian dan agensi dengan sebahagian besar diluluskan bagi tujuan verifikasi data dan analisis.
Dalam usaha memperkukuh keterjaminan tenaga, kerajaan turut memberikan penekanan kepada agenda biodiesel dengan sasaran meningkatkan penggunaan daripada B10 kepada B15 dalam jangka masa terdekat tanpa perlu menunggu naik taraf infrastruktur secara menyeluruh.
Beliau berkata, langkah tersebut mampu dilaksanakan melalui penambahbaikan operasi sedia ada, termasuk pengurusan logistik dan penyimpanan bahan mentah.
“Bekalan bahan mentah adalah mencukupi dan tidak akan menjejaskan rantaian bekalan, malah beberapa kawasan seperti Langkawi, Sarawak dan Labuan telah menggunakan diesel B20,” katanya.
Mengakhiri ucapan, beliau mengingatkan bahawa dunia kini berdepan dengan norma baharu susulan krisis berpanjangan, termasuk kemungkinan harga minyak tidak lagi kembali ke paras rendah seperti sebelum ini.
“Kita perlu bersedia menghadapi normal baharu dan memastikan setiap tindakan yang diambil adalah berasaskan data, strategik, serta responsif kepada keadaan semasa,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh warga kementerian untuk terus meningkatkan kecekapan, integriti dan profesionalisme dalam memastikan sasaran negara, termasuk yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dapat dicapai.