Diterbitkan pada 16 April 2026, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Rakyat mencatat prestasi kewangan terbaik apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sekali gus membolehkan pembayaran dividen tertinggi dalam tempoh sedekad kepada anggotanya.

Pengerusi Bank Rakyat, YBhg. Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, keuntungan tersebut menunjukkan peningkatan 4.2 peratus atau RM75.8 juta berbanding dengan RM1.8 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, pencapaian itu didorong oleh pengukuhan aktiviti teras kumpulan, serta keadaan ekonomi domestik yang semakin baik walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global dan cabaran dalam sektor perbankan.

“Prestasi ini turut dipacu oleh peningkatan jumlah aset sebanyak 6.6 peratus kepada RM131 bilion, selain pertumbuhan kukuh dalam segmen pembiayaan runcit dan penekanan kepada pendapatan bukan berasaskan dana,” katanya dalam sidang media pengumuman prestasi kewangan dan dividen Bank Rakyat di Menara Berkembar Bank Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, pendapatan teras kumpulan meningkat 2.0 peratus kepada RM6.8 bilion didorong oleh pertumbuhan baki pembiayaan kasar sebanyak 8.6 peratus kepada RM93.3 bilion, sekali gus mengatasi purata industri.

Selain itu, strategi berteraskan deposit turut menyumbang kepada peningkatan akaun Semasa-i dan akaun Pelaburan Khas-i sebanyak 15.2 peratus kepada RM12.4 bilion, meningkatkan nisbah kepada 14.4 peratus.

YBhg. Datuk Mohd Irwan berkata, kejayaan pelaksanaan Pelan Strategik Bank Rakyat 2020-2025 (BR25) memperkukuh kepelbagaian portfolio, khususnya dalam segmen perbankan perniagaan, serta pembiayaan bercagar seperti Perumahan-i, Kenderaan-i dan Pajakan Gadai-i.

“Setiap sen keuntungan dipulangkan kepada anggota. Dividen yang diumumkan bukan sekadar angka, tetapi manifestasi komitmen kami dalam membantu meringankan kos sara hidup dan memacu kemakmuran inklusif,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 18 peratus melibatkan jumlah anggaran RM534.7 juta kepada 783,324 anggota yang layak.

Menurut beliau, kadar tersebut merupakan yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun dan pembayaran dividen akan mula disalurkan bermula hari ini.

“Bank Rakyat bukan sekadar sebuah bank biasa, sebaliknya institusi kewangan milik rakyat dengan hampir 800,000 anggota yang majoritinya terdiri daripada golongan B40 dan M40,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengumuman dividen itu selaras dengan mandat di bawah Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia 1978 yang menekankan kepentingan meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota.

Pada masa sama, YB Steven memaklumkan Bank Rakyat memainkan peranan aktif dalam menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk melalui kempen Power Up 10,000 yang dilaksanakan oleh kementeriannya.

“Dalam suku pertama tahun ini sahaja, Bank Rakyat menyalurkan hampir RM400 juta kepada lebih daripada 1,000 PMKS di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, kementerian menyasarkan penyaluran sekurang-kurangnya RM15 bilion pembiayaan kepada sektor PMKS tahun ini bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, YB Steven berkata ekonomi global kini berdepan dengan cabaran kompleks termasuk krisis tenaga dan ketidaktentuan geopolitik, namun Malaysia masih mencatat unjuran pertumbuhan positif.

Katanya, beberapa institusi kewangan antarabangsa menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia, termasuk Bank Dunia kepada 4.4 peratus, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kepada 4.7 peratus dan Bank Pembangunan Asia (ADB) kepada 4.6 peratus.

“Walaupun berdepan dengan cabaran fiskal dan struktur ekonomi global, Malaysia mempunyai peluang untuk terus berkembang, khususnya dalam sektor PMKS,” katanya.

Sementara itu, Bank Rakyat turut meneruskan komitmen kepada pembangunan koperasi dengan menyumbang RM57 juta bagi tahun 2025, termasuk RM38 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan RM19 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding dengan RM54.7 juta yang disumbangkan pada tahun sebelumnya.

Mengakhiri ucapan, YB Steven merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia atas sokongan berterusan dalam memastikan prestasi kukuh Bank Rakyat.

Prestasi cemerlang ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Bank Rakyat sebagai antara institusi kewangan Islam terbesar di Malaysia, selain terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekonomi rakyat.

Kredit Foto: Bank Rakyat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi