Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu — Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi diesel secara bersasar menerusi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) meskipun berlaku lonjakan harga bahan api itu dalam pasaran global susulan krisis tenaga yang dipacu konflik di Asia Barat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan bahawa setakat 30 Mac 2026, sebanyak 150,755 syarikat dan entiti telah diluluskan di bawah skim tersebut yang membabitkan 368,911 kenderaan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 93 peratus terdiri daripada kenderaan pengangkutan barangan, manakala tujuh peratus ialah kenderaan pengangkutan awam.
Menurut KPDN, harga diesel dunia meningkat daripada USD93 setong pada 26 Februari 2026 kepada USD239 setong pada 31 Mac 2026, iaitu lonjakan sebanyak 158 peratus.
Seiring dengan perkembangan itu, keperluan peruntukan bagi tahun 2026 dijangka meningkat dengan anggaran perbelanjaan mencecah RM2.2 bilion sebulan berbanding dengan RM3.45 bilion setahun pada tahun 2025.
Sepanjang tahun 2025, kerajaan telah membelanjakan RM3.45 bilion bagi pelaksanaan SKDS, meliputi RM3.1 bilion untuk sektor pengangkutan barangan dan RM344.05 juta bagi pengangkutan awam. Peruntukan ini tidak termasuk subsidi diesel lain seperti program BUDI Agrikomoditi, BUDI Individu dan subsidi nelayan.
Pelaksanaan subsidi dilakukan melalui penggunaan kad flit (fleet card) yang melibatkan 33 kategori kenderaan layak, iaitu 23 kategori pengangkutan barangan dan 10 kategori pengangkutan awam. Kadar subsidi ditetapkan pada RM2.15 seliter bagi pengangkutan barangan dan RM1.88 seliter bagi pengangkutan awam.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YBhg. Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa kementerian akan memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pelaksanaan SKDS berjalan secara telus, berintegriti, serta bebas daripada penyalahgunaan.
Kerajaan juga akan bekerjasama rapat dengan pihak industri untuk menambah baik mekanisme pelaksanaan skim berkenaan dari semasa ke semasa, di samping menggesa pihak yang layak tetapi belum memohon agar segera berbuat demikian melalui saluran rasmi.