Diterbitkan pada 27 Mac 2026, 18:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengambil langkah proaktif bagi menangani kesan sekatan eksport baja global yang dilihat berpotensi menjejaskan sektor agrikomoditi negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, Malaysia pada masa ini mengimport antara empat juta hingga lima juta tan baja setiap tahun dengan nilai pasaran melebihi RM5 bilion setahun, sekali gus menunjukkan tahap kebergantungan yang tinggi terhadap bekalan luar negara.

Menurut beliau, bagi memastikan kesinambungan bekalan dalam tempoh terdekat, kementerian telah menggerakkan usaha agresif untuk memperluas sumber import baja melalui rundingan strategik dengan negara pembekal sedia ada dan baharu.

“Selain itu, saluran bekalan alternatif akan diaktifkan dalam tempoh tiga bulan hingga enam bulan, di samping memastikan harga bekalan kekal kompetitif bagi mengelakkan tekanan kepada pemain industri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, langkah tersebut bertujuan mengurangkan kebergantungan pada satu sumber utama, serta meningkatkan ketahanan rantaian bekalan negara dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global.

Dalam pada itu, kerajaan menerusi Belanjawan 2026 turut menyediakan peruntukan besar dalam bentuk geran dan pinjaman mudah di bawah program Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) bagi meringankan beban aliran tunai pekebun, khususnya pada peringkat awal penanaman.

Skim berkenaan dirangka secara menyeluruh dengan merangkumi komponen pembiayaan kos baja bagi tanaman yang masih belum matang, iaitu bagi tempoh tahun pertama hingga tahun ketiga.

Pada masa sama, kerajaan juga akan mempercepat transformasi struktur industri melalui penggunaan baja alternatif berasaskan biojisim, biogas dan biochar, selain memperkukuh amalan ekonomi kitaran dalam sektor perladangan.

Pendekatan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesuburan tanah, serta hasil tanaman, malah mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia import dalam jangka masa panjang.

Seiring itu, KPK telah memulakan sesi libat urus bersama pengeluar baja tempatan bagi mengutamakan bekalan untuk pasaran domestik, di samping menstabilkan harga melalui peningkatan pengeluaran tempatan dan kapasiti industri dalam jangka masa sederhana.

Kerajaan, katanya, akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi kepentingan negara.

“Keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan baja mencukupi, melindungi pekebun kecil, serta menjamin sektor agrikomoditi negara terus kukuh dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global,” katanya.

Langkah yang diambil ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjamin keselamatan bekalan input pertanian, melindungi kesejahteraan rakyat, serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi