Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya — Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyeru majikan sektor swasta di seluruh negara agar melaksanakan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) sebagai langkah strategik bagi memastikan kesejahteraan pekerja terus terpelihara dalam menghadapi cabaran ekonomi global dan krisis tenaga semasa.
Seruan ini dibuat susulan saranan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menggalakkan sektor swasta memperkenalkan kaedah kerja lebih anjal termasuk bekerja dari rumah (BDR) bagi mengurangkan tekanan kos operasi, serta menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Menurut KESUMA, pelaksanaan AKF dilihat mampu membantu organisasi mengoptimumkan penggunaan sumber secara lebih cekap tanpa menjejaskan produktiviti.
Dalam situasi peningkatan kos tenaga akibat konflik di rantau Asia Barat, serta kebergantungan tinggi pada pergerakan harian pekerja, pendekatan kerja fleksibel menjadi antara penyelesaian praktikal yang memberikan manfaat menyeluruh kepada majikan dan pekerja.
“AKF bukan sahaja membantu organisasi menyesuaikan operasi, malah menyokong keseimbangan kerja dan kehidupan pekerja, sekali gus meningkatkan kesejahteraan, serta motivasi mereka,” menurut kenyataan itu.
Majikan digalakkan menilai kesesuaian pelaksanaan AKF di organisasi masing-masing berdasarkan keperluan operasi. Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan termasuklah bekerja dari rumah, waktu kerja anjal, penggiliran kerja serta model kerja hibrid.
Pelaksanaan ini juga selaras dengan pindaan di bawah Akta Kerja 1955 [Akta 265] yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023. Di bawah Seksyen 60P dan 60Q, pekerja diberikan hak untuk memohon pengaturan kerja fleksibel kepada majikan, sekali gus memperkukuh amalan kerja moden yang lebih responsif terhadap keperluan semasa.
Peruntukan baharu tersebut membolehkan pekerja memohon fleksibiliti dari segi waktu bekerja, hari bekerja atau tempat bekerja termasuk pelaksanaan BDR. Pada masa sama, KESUMA menegaskan bahawa majikan yang melaksanakan AKF tidak boleh mengurangkan faedah sedia ada pekerja seperti bayaran kerja lebih masa, bayaran kerja pada hari rehat dan cuti umum, cuti tahunan, serta cuti sakit.
Bagi menyokong pelaksanaan ini, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menyediakan pelbagai inisiatif termasuk khidmat nasihat pembangunan dasar AKF, latihan, serta perkongsian amalan terbaik bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan tersusun.
Selain itu, JTKSM turut menerbitkan Garis Panduan Pelaksanaan AKF pada tahun 2024 sebagai rujukan kepada majikan dalam merangka dasar kerja fleksibel yang sesuai dengan keperluan organisasi masing-masing.
Sehubungan dengan itu, KESUMA menggesa semua majikan sektor swasta untuk mengambil langkah proaktif dalam mengadaptasi AKF sebagai strategi penting bagi memperkukuh daya tahan organisasi, mengurangkan impak krisis tenaga, serta memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
Antara langkah yang disarankan termasuklah menilai kesesuaian pelaksanaan AKF, melaksanakan pendekatan secara berperingkat mengikut keperluan operasi, serta memanfaatkan sokongan dan panduan yang disediakan oleh agensi berkaitan dengannya.
KESUMA menegaskan komitmennya untuk memastikan kesejahteraan pekerja dan kelangsungan perniagaan terus seiring dalam mendepani cabaran global masa kini.