Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya − Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyalurkan sumbangan kepada lapan buah rumah kebajikan menerusi Program Mahabbah Ramadan HASiL 2026 sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial institusi percukaian negara dalam menyokong kesejahteraan masyarakat.
Sumbangan tersebut disampaikan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan dan Iftar HASiL 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dengan penyampaian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Lembaga HASiL, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican.
Program tersebut melibatkan penyaluran bantuan kepada rumah kebajikan anak yatim, asnaf dan tahfiz di sekitar Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan, selain pemberian duit raya kepada penerima yang hadir.
Menurut YBhg. Datuk Johan, inisiatif tersebut mencerminkan bahawa pengurusan hasil negara bukan sahaja tertumpu pada sistem percukaian, malah turut merangkumi tanggungjawab sosial bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Program Mahabbah Ramadan turut diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-30 penubuhan HASiL sebagai simbol tiga dekad peranan institusi percukaian negara dalam menyokong pembangunan ekonomi dan kemakmuran Malaysia.
Yang turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin bersama-sama barisan anggota lembaga, pengurusan kanan, tetamu jemputan, serta warga kerja HASiL.
Penganjuran program ini diharapkan dapat terus menyemarakkan penghayatan Ramadan dengan penuh empati dan keinsafan, serta menjadi inspirasi untuk memperkukuh nilai integriti dan kebaikan dalam kehidupan seharian.