Diterbitkan pada 12 Mac 2026, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan komited memastikan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) menjadi pemacu utama perubahan ekonomi negara dengan jumlah komitmen pembangunan dianggarkan mencecah RM611 bilion sepanjang tempoh pelaksanaannya.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah tersebut merangkumi peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM430 bilion, pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berjumlah RM120 bilion, serta projek kerjasama awam swasta (PPP) bernilai RM61 bilion.

Beliau berkata, peruntukan besar itu merupakan amanah pembangunan yang perlu dilaksanakan secara berkesan agar manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.

“Peruntukan ini bukan sekadar angka dalam dokumen bajet, tetapi tanggungjawab besar untuk memastikan pembangunan yang dirancang memberikan impak nyata kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan Mesyuarat Perdana Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG), serta pelancaran sistem MyRMK di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menurut beliau, RMK-13 kini memasuki fasa pelaksanaan selepas tempoh perancangan, dengan fokus diberikan kepada penyampaian projek dan program secara berkesan.

YB Tuan Haji Akmal Nasrullah berkata, pelaksanaan rancangan tersebut turut dipandu oleh kerangka Ekonomi MADANI yang menetapkan tiga matlamat utama, iaitu meningkatkan keupayaan ekonomi negara, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan menambah baik tadbir urus.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi positif pada tahun 2025 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 5.2 peratus berbanding dengan sasaran awal antara empat peratus hingga 4.8 peratus.

Pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan kepada 6.3 peratus pada suku keempat tahun berkenaan, selain disokong kadar pengangguran terendah dalam tempoh 11 tahun, serta inflasi purata sekitar 1.4 peratus.

Di samping itu, data Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 menunjukkan kadar kemiskinan mutlak negara menurun kepada 5.1 peratus atau kira-kira 416,000 isi rumah, manakala kemiskinan tegar mengecil kepada 0.09 peratus melibatkan sekitar 7,200 isi rumah.

Pendapatan purata isi rumah pula meningkat kepada RM9,155 pada tahun 2024 berbanding dengan RM8,479 pada tahun 2022, manakala pendapatan penengah naik kepada RM7,017 dengan kadar pertumbuhan tahunan 5.1 peratus.

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa ekonomi negara masih berdepan dengan cabaran global termasuk ketidaktentuan geopolitik yang memberikan kesan kepada pasaran tenaga dan laluan perdagangan antarabangsa.

Menurutnya, konflik di Asia Barat dan gangguan di Selat Hormuz telah memberikan tekanan kepada harga minyak dunia, serta kos logistik global.

“Kerajaan memantau perkembangan ini secara rapi bagi menilai implikasinya terhadap inflasi, rangkaian bekalan dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan RMK-13 turut mengambil kira “projek kecil” yang memberikan impak langsung terhadap kehidupan rakyat dan tidak berfokuskan pada projek mega semata-mata.

Antara “projek kecil” yang berimpak langsung termasuklah menaik taraf sekolah daif, klinik desa, jalan kampung, sistem saliran, bekalan air, kemudahan Internet dan lampu jalan. Menurut beliau, semua projek sama penting kerana ukuran sebenar kejayaan pembangunan ialah sejauh mana rakyat dapat merasai manfaatnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan RMK-13 perlu digerakkan melalui pendekatan “whole of government” (pendekatan menyeluruh kerajaan) dan “whole of nation” (pendekatan menyeluruh negara) yang melibatkan kerjasama kerajaan persekutuan, negeri, sektor swasta, serta masyarakat.

“Ukuran sebenar kejayaan RMK-13 ialah apabila rakyat dapat melihat, merasai dan menikmati hasil pembangunan dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi