Diterbitkan pada 12 Mac 2026, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kewangan menegaskan komitmen untuk terus melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga bahan api global menerusi pelaksanaan subsidi bersasar dan bantuan tunai tambahan di bawah inisiatif BUDI MADANI.

Walaupun harga pam petrol RON95 dan diesel meningkat susulan ketidaktentuan pasaran minyak dunia, kerajaan mengekalkan harga bersubsidi RON95 untuk rakyat pada kadar RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI95.

Pada masa sama, penerima bantuan tunai di bawah program BUDI Diesel turut menerima manfaat tambahan apabila kadar bantuan interim dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 sebulan bagi Mac 2026.

Kerajaan memaklumkan kenaikan harga bahan api ini berlaku berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia yang dipengaruhi konflik di Asia Barat selepas serangan ke atas Republik Islam Iran.

“Pada 9 Mac lalu, harga minyak mentah Brent dilaporkan mencecah sehingga USD119 setong sebelum menurun semula kepada sekitar USD90 setong, namun pasaran minyak global masih kekal tidak menentu,” menurut kenyataan semalam.

Sehubungan dengan itu, harga pam bahan api diselaraskan bagi tempoh 12 Mac hingga 18 Mac 2026 dengan RON97 meningkat kepada RM3.85 seliter berbanding dengan RM3.25 sebelum ini.

Harga RON95 tanpa subsidi pula meningkat kepada RM3.27 seliter daripada RM2.67, manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia naik kepada RM3.92 seliter berbanding dengan RM3.12 sebelum ini.

Bagaimanapun, bagi mengurangkan kesan kenaikan harga pasaran terhadap rakyat, kerajaan mengekalkan beberapa mekanisme subsidi.

Selain harga RON95 bersubsidi RM1.99 seliter, harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak kekal pada RM2.15 seliter.

Bagi sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung Malaysia pula, harga diesel bersubsidi masing-masing dikekalkan pada RM1.88 dan RM2.15 seliter.

Kerajaan turut menaikkan bantuan tunai interim kepada RM300 bagi Mac 2026 untuk pengguna kenderaan diesel yang layak di bawah program BUDI Diesel Individu dan BUDI Diesel Agri-Komoditi.

Bayaran tambahan sebanyak RM100 akan dibuat bermula 17 Mac ini.

Pada masa yang sama, usaha penguatkuasaan akan dipertingkat bagi membendung ketirisan, serta mencegah penyalahgunaan bahan api bersubsidi, memandangkan harga bahan api di Malaysia masih lebih rendah berbanding dengan negara jiran.

Kerajaan MADANI menegaskan pendekatan ini penting bagi memastikan keseimbangan antara perlindungan kepada rakyat dengan kebertanggungjawaban fiskal dalam pengurusan subsidi negara.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas Keterjaminan Tenaga dan Kesan Konflik Asia Barat yang diadakan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya semalam.

Penubuhan jawatankuasa khas itu bertujuan menyelaras tindakan kerajaan dalam memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara, serta menilai implikasi konflik di Asia Barat terhadap ekonomi Malaysia.

Selain itu, jawatankuasa tersebut juga ditubuhkan bertujuan untuk memastikan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik global.

Jawatankuasa tersebut dianggotai beberapa kementerian utama termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Bank Negara Malaysia.

Pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan pemantauan berterusan terhadap perkembangan global, selain merangka langkah proaktif untuk mengurangkan sebarang potensi kesan terhadap bekalan tenaga, harga barangan dan kestabilan ekonomi negara.

Hasil perbincangan jawatankuasa khas berkenaan dijangka dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Khas pada 13 Mac ini.

Kredit Foto: Kementerian Kewangan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi