Diterbitkan pada 7 Mac 2026, 13:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia mencatatkan jumlah kelulusan pelaburan tertinggi pada tahun 2025, iaitu sebanyak RM426.7 bilion. Pencapaian ini menunjukkan peningkatan signifikan sebanyak 11 peratus berbanding dengan RM384.4 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pencapaian luar biasa ini mencerminkan ketahanan ekonomi negara yang masih kukuh meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Sebanyak 8,390 projek telah diluluskan merangkumi sektor perkhidmatan, perkilangan, dan beberapa sektor utama yang lain. Hal ini sekali gus mewujudkan sebanyak 244,902 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.

MIDA menjelaskan bahawa kedudukan pelaburan domestik di negara ini masih kekal, iaitu sebanyak RM 219.6 bilion merangkumi 51.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan negara. Sementara itu, pelaburan asing juga menunjukkan pencapaian yang tinggi, iaitu peningkatan sebanyak 20.9 peratus kepada RM 207.1 bilion. Situasi ini menggambarkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan ekonomi negara.

Berdasarkan data oleh MIDA ini juga, didapati bahawa sektor pelancongan China dan Singapura masing-masing mencatatkan pencapaian sebanyak RM58.3 bilion dan RM58.0 bilion. Kedudukan ini diikuti oleh Amerika Syarikat sebanyak RM 15.1 bilion, Jepun dengan rekod sebanyak RM 7.6 bilion dan Hong Kong sebanyak RM 7.1 bilion.

Dari sudut taburan geografi, Johor muncul sebagai negeri peneraju dengan sumbangan pelaburan tertinggi mencecah RM110.0 bilion, diikuti oleh Selangor yang mencatatkan pencapaian sebanyak RM83.9 bilion.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mengukuhkan kedudukan di tempat yang ketiga dengan pelaburan berjumlah RM63.3 bilion, manakala Pulau Pinang dan Kedah melengkapkan senarai lima negeri penyumbang teratas dengan masing-masing mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM32.9 bilion dan RM27.8 bilion.

Pada masa yang sama, MIDA menegaskan bahawa Malaysia harus mengekalkan pencapaian sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan dipercayai walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global. Hal ini sangat penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

“Kejayaan ini menunjukkan ikhtiar bersepadu seluruh jentera kerajaan MADANI bersama-sama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta MIDA. Usaha ini dilaksanakan demi memastikan setiap pelaburan bukan sahaja mendapat kelulusan tetapi haruslah direalisasikan dan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta kemakmuran rakyat,” ujar Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi akaun Facebook peribadinya.

Kata beliau, pencapaian pelaburan ini bukan sekadar angka yang memberikan nilai tambah kepada negara tetapi bukti keyakinan dunia terhadap ekonomi Malaysia. Hal ini sekali gus mencerminkan keberkesanan agenda pembaharuan yang giat dijalankan oleh kerajaan MADANI.

Kredit Foto: Facebook rasmi Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi