Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 8.1 juta penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) direkodkan menerima bantuan bulanan pada tahun 2026 dengan hampir 6.7 juta daripadanya telah menggunakan MyKad masing-masing untuk membeli barangan keperluan asas setakat 1 Mac lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, YB Liew Chin Tong berkata demikian ketika menjawab soalan YB Tan Hong Pin (Ahli Parlimen Bakri) pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas Dewan Rakyat, semalam.
Menurut beliau, kadar penggunaan SARA setakat ini mencecah 82 peratus dengan nilai perbelanjaan hampir RM1 bilion.
“SARA merupakan bantuan tanpa tunai yang disalurkan dalam bentuk kredit melalui MyKad dan boleh digunakan di kedai berdaftar sebagai rakan niaga bagi pembelian 15 kategori barangan keperluan asas termasuk makanan, barangan kebersihan diri dan rumah, serta ubat-ubatan,” katanya.
Beliau menjelaskan pendekatan tersebut membolehkan kerajaan memantau pelaksanaan program secara lebih berkesan, serta memastikan bantuan dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasar.
Kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA pada tahun 2026 berbanding dengan RM10 bilion pada tahun 2024 bagi memanfaatkan lebih daripada lapan juta penerima.
Bagi inisiatif SARA untuk Semua yang melibatkan lebih daripada 22 juta rakyat Malaysia dewasa, sebanyak lebih daripada12.1 juta penerima atau 54 peratus telah memanfaatkan bantuan tersebut dengan nilai perbelanjaan hampir RM1 bilion.
“Peningkatan peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan membantu rakyat menangani kos sara hidup,” katanya.
Mulai 9 Februari 2026, kerajaan telah menambah kategori makanan sejuk beku sebagai kategori baharu, menjadikan keseluruhan 15 kategori barangan berbanding dengan 14 kategori sebelum ini.
Selain itu, jumlah jenis barangan yang boleh dibeli turut ditingkatkan kepada 140,000 berbanding dengan 100,000 sebelum ini.
Menjawab isu kelewatan kelulusan permohonan rakan niaga MySARA, YB Liew Chin Tong berkata, kerajaan menyasarkan tempoh kelulusan dalam masa dua minggu selepas dokumen lengkap diterima.
Katanya, antara syarat utama lantikan rakan niaga ialah pendaftaran perniagaan dan lesen premis yang sah, serta penggunaan sistem titik jualan (point of sales) bagi menjamin integriti dan ketelusan pelaksanaan program.
Dalam soalan tambahan, YB Tan Hong Pin membangkitkan isu caj transaksi satu peratus yang dianggarkan mencecah RM150 juta, serta mempersoalkan pelaksanaan program melalui pihak ketiga berbanding dengan agensi kerajaan.
Beliau turut mencadangkan agar bantuan disalurkan secara terus melalui e-dompet seperti yang dilaksanakan pada tahun 2019 dan tahun 2020 bagi membolehkan penerima berbelanja di mana-mana premis, termasuk penjaja kecil dalam komuniti setempat.
Menjawab perkara itu, YB Liew Chin Tong berkata, Kementerian Kewangan bersedia mempertimbangkan cadangan Jawatankuasa Pilihan Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian berhubung dengan mekanisme penyertaan rakan niaga dan agensi pelaksana.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pendekatan e-dompet mungkin terlalu terbuka kepada semua jenis perbelanjaan. Namun begitu, kerajaan bersedia meneliti kemungkinan untuk mencari jalan tengah antara mekanisme sedia ada dengan cadangan tersebut.